Fahmi ucap takziah atas pemergian aktivis teater, Rosminah Tahir
MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga aktivis teater tanah air yang juga bekas Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Dr Rosminah Mohd Tahir, yang meninggal dunia pada Ahad.
Fahmi dalam satu hantaran ringkas di laman X berkata, Rosminah, merupakan antara sumber inspirasi beliau ketika bergiat dalam bidang teater tidak lama dahulu.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya.
Terdahulu, berita pemergian Rosminah, 65, dikongsikan rakan penggiat seni, seniwati Fauziah Nawi dan pelakon veteran Zulkifli Ismail, masing-masing menerusi hantaran di Faceook, pada Ahad.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Keramat, di sini, petang tadi dan difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke Muar, Johor malam ini untuk dikebumikan pagi esok.
Selain berkhidmat sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Allahyarham juga pernah mengarah beberapa pementasan teater berskala mega, seperti Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir; Muzikal Lantai T Pinkie; Muzikal Ibu Zain; Nyonya; Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!