Ketahui tahap kesihatan, lakukan pemeriksaan berkala

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

NEGARA digemparkan dengan dua berita kematian mengejut membabitkan anggota tentera dan salah seorang daripadanya dilaporkan tiada sebarang masalah dalam rekod kesihatan sebelum ini.

Seperti sedia maklum, mati mengejut ketika melakukan aktiviti fizikal bukanlah perkara baharu serta perlu diambil perhatian serius dan tidak dipandang remeh.

Hal ini kerana, kebanyakan masyarakat mengambil ringan pemeriksaan kesihatan sedangkan sebaiknya seseorang itu mengetahui status kesihatan mereka.

Pada Sabtu, seorang anggota tentera dilaporkan rebah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas menyertai Program Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.

Allahyarham Mohd Irfan Faizal Ismail, 41, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital kira-kira jam 10.26 malam, sempat merakamkan gambar kenangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem sebelum acara larian bermula.

Mohd Noor Helmy berkata, beliau yang turut serta dalam acara larian sejauh lima kilometer terkejut dengan berita sedih itu lebih-lebih mengetahui Allahyarham sebelum itu begitu teruja untuk menemuinya pada program tersebut.

Sudah banyak kes seperti ini berlaku dan ia membuktikan bahawa usia muda bukanlah jaminan seseorang itu selamat daripada risiko mati mengejut ketika melakukan aktiviti riadah.

Bagaimanapun, tujuan penulisan ini hanya untuk memberi peringatan kepada orang ramai terutamanya yang masih muda supaya sentiasa cakna dengan kesihatan diri dan melakukan pemeriksaan penuh secara berkala.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP, Dr S Denesh memaklumkan bahawa Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) akibat serangan jantung dan strok bagi golongan populasi berusia 40 tahun ke bawah semakin meningkat.

Jelas Denesh, dari sudut perubatan, bukan senaman yang menjadi faktor kepada SADS tetapi faktor kesihatan individu itu sendiri.

Dalam pada itu, pada Ahad negara dikejutkan pula dengan berita kematian Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman yang disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, semalam (7.25 pagi waktu Malaysia).

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, Allahyarhamah yang berumur 36 tahun bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

Menurut suami kepada Allahyarham, beliau terkejut apabila dimaklumkan isterinya itu meninggal dunia di Lubnan.

Noor Azmi Ariffin, 39, berkata, ini kerana mereka sekeluarga baharu sahaja menghantar arwah isterinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk kembali bertugas di Lubnan.

Menurutnya, isterinya yang sudah 18 tahun berkhidmat dalam ketenteraan tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit dan kelihatan sihat sahaja ketika pulang bercuti baru-baru ini.

Jadi benarlah, kematian tidak mengenal usia, pangkat dan status individu tersebut dan ia akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Salam takziah penulis ucapkan kepada kedua-dua keluarga mangsa di atas pemergian mengejut ini.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan urusan membawa pulang jenazah Faridah ke Malaysia berjalan lancar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!