Memang pelik hobi anak muda sekarang
MEMILIKI hobi adalah satu perkara yang menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan ketika waktu lapang bersama kawan-kawan.
Kebelakangan ini, media sosial sering memaparkan ramai remaja yang memiliki ‘hobi mahal’ sehingga tidak dapat membezakan antara nyawa dan minat.
Pada kali ini, penulis ingin mengulas satu isu tular melibatkan sekumpulan anak muda yang ‘berkelah’ dengan memasak menggunakan dapur gas di sebuah stesen minyak.
Rakaman berdurasi 50 saat itu bukan sahaja tular malah mendapat kritikan dan kecaman daripada ramai pihak kerana perbuatan berkenaan boleh memicu kepada berlakunya insiden luar jangka.
Jika diteliti semula video itu, perbuatan mereka seolah-olah tidak mengetahui tentang asas perkara yang boleh menyebabkan kebakaran.
Lebih membimbangkan apabila mereka kelihatan begitu gembira menikmati ‘perkelahan’ tersebut seperti tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Ini bukan perkara baharu yang perlu diketahui umum kerana di setiap stesen minyak sudah terpampang tanda amaran seperti merokok, menyalakan api dan menggunakan telefon bimbit adalah dilarang sama sekali ketika berada di kawasan berkenaan.
Tanda amaran itu dipaparkan di stesen minyak bukan untuk jadikan perhiasan semata-mata sebaliknya sebagai peringatan asas agar pengguna lebih berhati-hati.
Hal berkaitan api, gas dan kebakaran tidak boleh dibuat main kerana ia boleh membahayakan diri orang sekeliling bahkan boleh meragut nyawa dan kerugian harta benda.
Penulis bukan mahu mengatakan bahawa hobi berkelah itu salah dan tidak dibenarkan tetapi dalam konteks ini, pemilihan lokasinya boleh mengundang bencana.
Penulis sertakan beberapa insiden yang pernah berlaku gara-gara ketidakpatuhan terhadap tanda amaran di stesen minyak.
Pada 29 Jun 2016, seorang wanita melecur pada bahagian badan apabila telefon bimbit yang digunakan disambar api ketika mengisi minyak.
Kejadian itu telah mengakibatkan 60 peratus kebakaran pada tubuh wanita berkenaan dan insiden tersebut menyebabkan dia maut.
Baru-baru ini pada 17 Mei telah berlaku satu insiden kebakaran di stesen minyak di Kangar, Perlis.
Mangsa seorang lelaki nyaris maut apabila keretanya meletup dan terbakar ketika mengisi minyak di stesen berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, kejadian berlaku bermula apabila percikan terhasil daripada telefon bimbit di dalam kereta yang bertindak balas terhadap wap petrol.
Kedua-dua kejadian itu menunjukkan bahawa penggunaan alat elektronik di stesen minyak adalah berbahaya apatah lagi menyalakan api.
Cukup dengan percikan api kecil, kebakaran di stesen minyak dapat dicetuskan jika tidak dielakkan serta-merta.
Menurut hantaran Public Health Malaysia (PHM), percikan api merupakan komponen penting untuk mencetuskan kebakaran selain bahan api (petrol) dan oksigen.
Penulis berharap orang ramai berfikir dengan sebaiknya sebelum melakukan aktiviti berisiko di sekitar kawasan berisiko seperti di stesen minyak.
Ada yang kata, ‘jauh dari pam tak apa’. Silap jika anda berkata begitu kerana wap minyak boleh mengalir sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe.
Banyak lagi tempat boleh berkelah, kenapa stesen minyak pula yang menjadi pilihan. Memang pelik hobi orang sekarang.
Sudah tentu tindakan bodoh yang tidak memikirkan keselamatan diri dan orang lain itu mendapat kecaman di media sosial.
Mereka hanya fikir keseronokan, langsung tak fikir keselamatan orang lain. Nak berseronok pun tengok tempat dan jagalah keselamatan nyawa kita bersama. Harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas supaya menjadi pengajaran.
Jika mahu meluangkan masa bersama rakan, masih banyak lagi aktiviti dan tempat lain yang boleh dikunjungi.
Sekiranya benar-benar meminati hobi berkelah, terdapat banyak lokasi perkelahan menarik yang sesuai dengan aktiviti masak memasak.
Justeru, diharapkan agar anak muda masa kini memanfaatkan waktu dengan melakukan hobi yang lebih bermanfaat, sihat dan paling penting tidak membahayakan nyawa.
* Nor Syamira Liana Nor Ashaha ialah Wartawan Nasional Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!