Kemudi bantu bekas wartawan ceburi perniagaan
KOTA BHARU - Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menganjurkan kursus persediaan perniagaan untuk membantu ahli-ahlinya yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini.
Presiden Kemudi, Azran Fitri Rahim berkata, pihaknya telah merancang tiga kursus utama yang akan membantu ahli-ahlinya untuk memulakan perniagaan dan kembali memulakan kehidupan.
"Untuk kali ini, kita adakan kursus Business Model Canvas (BMC) bagi membantu pengamal media yang kehilangan pekerjaan untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Kita memahami bebanan dan tanggungjawab mereka kepada keluarga, hidup mesti diteruskan. Jadi Kemudi yang sentiasa menjadi rujukan mereka sebelum ini terpanggil untuk membantu mereka di saat masing-masing masih buntu untuk memulakan kehidupan baru selepas tidak lagi bergiat dengan dunia media," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, kursus itu akan membantu ahli Kemudi memulakan perniagaan dan bagaimana untuk memasarkan barangan perniagaan dan sebagainya.
"Kemudi berharap dengan bantuan ini dapatlah mereka memulakan kehidupan baru yang lebih baik selepas ini," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Azran Fitri berkata, kursus tersebut merupakan hasil kerjasama Kemudi, Kelab Usahawan Wanita Kelantan (Kuwak) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan untuk sesi pertama, ia disertai oleh lebih 20 bekas kakitangan Sinar Harian dan Media Prima yang baru sahaja meninggalkan dunia media hujung tahun lalu.
Beliau berkata, Kemudi akan sentiasa membantu apa yang sahaja yang boleh dilakukan bagi memastikan kebajikan ahlinya masih terjaga walaupun tidak lagi bernaung di bawah mana-mana agensi media di negeri ini.
Sementara itu, Pengerusi Kuwak, Nor Ariati Salleh berkata, untuk memulakan perniagaan bukanlah memerlukan modal yang besar namun ia terletak kepada kemampuan diri kita sendiri.
"Sebelum ini kita banyak dengar orang cakap berniaga pakai modal besar dan sebagainya. Tapi kita ada cara untuk meminimumkan modal dan beri semangat kepada semua yang hadir.
"Mereka mahu berniaga tapi tidak tahu cara dan sebagainya. Jadi kita bantulah apa yang patut, berkongsi rezeki itu adalah lebih baik untuk sesama kita," katanya yang dijemput untuk memberi ceramah pada program itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!