[VIDEO] Mahkamah keluar perintah larangan bersuara terhadap Che'gu Bard

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi, di sini, pada Isnin, mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri, yang dihadapinya.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah larangan itu.

Abu Bakar memutuskan demikian selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden.

Che'gu Bard (kiri) bersama Muhammad Rafique (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Johor pada Isnin.
Che'gu Bard (kiri) bersama Muhammad Rafique (kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Johor pada Isnin.

Katanya, responden telah pun dituduh atas dua kesalahan yang berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini, responden bebas untuk menggunakan media sosial untuk membuat hantaran atau komen-komen berkaitan kes ini.

"Di sinilah, Hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong, sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan.

"Mahkamah ini berpendapat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan kepada responden untuk bersuara bukannya hak yang mutlak. Hak bersuara ini tertakluk kepada sekatan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan yang dihadapinya. Responden akan mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 5 (1), Perlembagaan Persekutuan. Responden turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten," kata hakim ketika membacakan keputusannya, pada Isnin.

Abu Bakar berkata, berdasarkan alasan-alasan berkenaan Mahkamah Tinggi ini menggunakan kuasa semakan yang ada mengenepikan perintah penolakan larangan bersuara oleh Mahkamah Sesyen, sebelum ini.

"Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara (Gag Order) ke atas responden, ejen serta sesiapa wakil daripada apa-apa hantaran atau komen di media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan," katanya.

Pada 30 April lalu, Che'gu Bard dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Beliau didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama 'Che GuBard' di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lepas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!