Perak perlu lebih 57,000 rumah baharu menjelang 2030
IPOH - Kerajaan negeri Perak menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menganggarkan sebanyak 57,407 unit rumah diperlukan di negeri ini menjelang tahun 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, unjuran tersebut berdasarkan keperluan kediaman yang dijangka meningkat susulan beberapa projek mega diumumkan kerajaan menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, meskipun terdapat isu rumah tidak terjual ketika ini, unjuran tersebut sudah mengambil kira perkara tersebut.
"Apabila negeri dibangunkan, ada peluang pekerjaan, daripada pekerjaan itu mereka ada wang untuk membeli rumah. Jadi unjuran yang dibuat oleh LPHP itu berasas pembangunan termasuk rumah yang belum terjual.
"Jumlah lebih 50,000 rumah itu menjelang 2030 dan selepas itu kita akan tengok kembali berapa unjuran keperluan rumah ini di Perak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi REHDA Perak Raymond Chan Chee Keong.
Saarani berkata, rumah-rumah yang dirancangkan itu meliputi semua segmen seperti rumah kos rendah, kos sederhana dan sebagainya.
Katanya, kesemua keperluan tersebut perlu dibuat unjuran yang tepat supaya rakyat berpeluang memiliki rumah sendiri.
Sementara itu mengenai cadangan pakar ekonomi supaya kerajaan negeri Perak melihat kembali harga rumah sedia ada di Perak, Saarani berkata, harga sesebuah rumah bergantung kepada kos bahan binaan.
Katanya, harga bahan binaan yang melonjak naik terutama bahan-bahan yang diimport seperti besi menyebabkan kos pembinaan rumah turut meningkat.
"Kita kena berlaku adil kepada pemain industri dan pemaju perumahan. Kalau mereka beli bahan binaan dengan harga mahal, macam mana nak jual dengan harga murah.
"Kecuali kalau kita dapat menyediakan bahan binaan tempatan tetapi ada beberapa bahan binaan yang perlu diimport yang menyebabkan kos pembinaan dan jualan meningkat," katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata, isu rumah tidak terjual di Perak ketika ini akan dibincangkan di dalam mesyuarat LPHP.
Katanya, isu berkenaan dilihat salah keperluan yang perlu dipantau bagi memastikan industri perumahan tidak mengalami kerugian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!