Proses penilaian semula dilaksana PBT bukan notis kenaikan cukai - Amirudin

Amirudin. Foto Bernama
Amirudin. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Proses penilaian semula semua pegangan atau aset yang sedang dilaksanakan oleh beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor ketika ini bukan notis peningkatan cukai, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, penilaian semula yang dilakukan itu adalah proses biasa bagi menilai aset atau harta benda di dalam kawasan PBT terbabit mengikut nilaian semasa selepas lebih 10 tahun kadar sedia ada digunakan.

"Tidak semua PBT terlibat dalam penilaian semula ini. Apa yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika ini adalah proses sama sebagaimana yang dilakukan Majlis Perbandaran Kajang pada 2022.

"Ia adalah pra penilaian ke atas sebarang aset atau hartanah yang ada di dalam kawasan PBT terbabit bagi membolehkan pihak Majlis mendengar pandangan, bantahan atau respond dari komuniti berkenaan... ia bukanlah notis kenaikan cukai sebagaimana dibimbangkan,” katanya.

Amirudin (tigam kiri) mewakili kerajaan negeri Selangor menerima sijil daripada wakil MBOR. Foto Bernama
Amirudin (tigam kiri) mewakili kerajaan negeri Selangor menerima sijil daripada wakil MBOR. Foto Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pihak kerajaan negeri untuk kategori Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign yang disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor di sini pada Isnin.

Program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang membabitkan aktiviti mewarna mengenai kepentingan nilai-nilai integriti itu menghimpunkan 1,066 kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, proses penilaian semula itu dilakukan secara saksama, mengambil kira beberapa aspek termasuk kos penyelenggaraan dan mengutip sampah yang pastinya tidak sama sepertimana 10 atau 15 tahun lalu ketika penetapan bagi nilaian kos tersebut ditentukan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penilaian semula itu juga bagi melihat keberkesanan proses perbandaran di Selangor kerana jika nilaian aset tidak berubah kemungkinan ada perkara yang tidak betul berlaku kepada lokaliti dan kawasan berkenaan.

"Apa (notis) yang diterima penduduk adalah bagi membolehkan mereka mengemukakan bantahan atau pandangan dan selepas dikumpul serta disemak, ia akan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri sama ada kita bersetuju dengan dapatan penilaian semula tersebut.

"Itu adalah proses bantahan dan ia bukanlah satu notis untuk meningkatkan cukai, tapi proses penilaian yang wajar dilakukan PBT kerana impaknya akan memberi kesan kepada nilai tanah dan juga justifikasi terhadap penilaian hartanah di kawasan berkenaan,” katanya.

Amirudin berkata, lokaliti di kawasan PBT terbabit tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa, malah tambahnya, penilaian semula yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kajang dua tahun lepas masih belum dikuatkuasakan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!