Pembunuh Muntik Bani terlepas hukuman gantung
PUTRAJAYA - Seorang bekas penjual tebu yang membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani 15 tahun lalu, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin, menggantikan hukuman itu kepada penjara maksimum 40 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan, difailkan A Murugan, 50.
Ketika membaca keputusan berkenaan, Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan, sebulat suara memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh tangkap, 21 Oktober 2009.
Semasa prosiding, peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Murugan memohon hukuman mati yang dikenakan terhadap anak guamnya, diketepikan kerana fakta menunjukkan mangsa pernah menerima rawatan selama enam hari sebelum menemui ajal.
“Saya mohon dia dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 40 tahun, memandangkan Murugan perlu bergantung pada ubat-ubatan dan pernah koma selama enam bulan selepas menjalani pembedahan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, How Mei Ling memohon, hukuman mati terhadap lelaki itu dikekalkan ekoran kesalahan membunuh yang dilakukan, sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, lelaki itu mengambil kesempatan terhadap mangsa, yang datang ke rumahnya untuk mendapat tempat berlindung.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya didera, dipukul, kakinya disimbah air panas, kepala dibotakkan dan dikurung dalam tandas berkunci selama dua hari tanpa diberi makan serta minum.
Ekoran penderaan itu Mei Ling berkata, mangsa mengalami kecederaan tulang belakang sehingga menyukarkannya untuk bergerak.
“Selepas diselamatkan dan dibawa ke hospital, matanya tidak boleh dibuka manakala tubuhnya luka serta dijangkiti kuman.
“Malangnya, kematian tidak dapat dielakkan kerana semua organ utama dalam tubuhnya gagal berfungsi, ia berpunca daripada perbuatan lelaki tersebut,” katanya.
Berdasarkan keterangan, mangsa dilaporkan telah berkahwin dan mempunyai tiga anak di Indonesia.
Dia telah menetap di negara ini hampir lima tahun dan pada asalnya bekerja di rumah majikan bernama `Miss Hung'.
Berdasarkan keterangan pihak polis, Muntik memberitahu telah menetap di rumah Murugan namun dikurung di bilik air selama dua hari, dua malam tanpa makanan dan minuman.
Mangsa turut mengakui, sering dipukul dan ditendang sementara tangan kanannya patah akibat dipukul dengan penyapu.
Menurut laporan akhbar, ketika diselamatkan dari rumah itu pada 21 Oktober 2009, pembantu rumah terbabit berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.
Lima hari kemudian, wanita dari Surabaya itu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Murugan didapati bersalah membunuh Muntik, 36, di rumah lelaki itu di Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Oktober tahun sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!