Budaya politik ganas tiada tempat di Malaysia - Halimah

Halimah
Halimah
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengutuk tindakan ugutan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menerima surat layang dan dua butir peluru hidup pada Sabtu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Dr Halimah Ali berkata, pihaknya berharap siasatan terperinci dan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat.

Menurutnya, walaupun berbeza pandangan namun parti itu menolak politik keganasan dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi.

"Sesungguhnya budaya politik keganasan tiada tempat dalam sebuah negara maju seumpama Malaysia yang rakyat berbilang kaum hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Pas dan Perikatan Nasional sentiasa berpegang teguh pada budaya politik matang dan sejahtera, serta percaya yang sebarang perubahan kuasa politik hanya berlaku melalui proses demokrasi dan suara ramai, bukannya secara ganas atau tidak berakhlak," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Teresa mendedahkan menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.

Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan pasukan polis telah menjalankan pemeriksaan sejurus laporan polis dibuat.

Terese juga memberitahu, kejadian tersebut seolah-olah tidak masuk akal dan mempersoalkan kesalahan yang telah dilakukan sehingga menerima ugutan bunuh.

Artikel Berkaitan:

Halimah berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian menimpa Teresa yang pernah bekerjasama menyandang jawatan Exco Selangor semasa pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Walaupun kini berbeza pandangan dan pendirian politik, saya bersimpati dengannya dan berharap beliau tenang serta cekal menghadapi gangguan tidak bertanggungjawab ini.

"Kita serahkan kepada polis yang saya yakin berkemampuan dan cukup terlatih untuk menyiasat kes ini dan mendakwa pihak terlibat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!