Berkat menabung, tiga beradik tunai haji di usia muda

Tiga beradik (dari kiri) Muhammad Nazirul Hazimi, Muhammad Nazirul Haqimi dan Muhammad Nazirul Fatihi menunjukkan kad perakuan jemaah haji. Foto Bernama
Tiga beradik (dari kiri) Muhammad Nazirul Hazimi, Muhammad Nazirul Haqimi dan Muhammad Nazirul Fatihi menunjukkan kad perakuan jemaah haji. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Kesungguhan sepasang suami isteri, Zulkeflee Abd Rahman, 61, dan Noraidah Abd Rahman, 60, menabung ke dalam akaun Tabung Haji (TH) untuk empat anak mereka sejak kecil membolehkan mereka menunaikan haji pada usia muda.

Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee, 32, dari Kampung Jati, Gong Badak, di sini berkata, ibu dan bapanya yang bekerja sebagai guru mula menabung untuk mereka empat beradik sejak 2008.

Beliau berkata, walaupun terpaksa berjimat cermat, ibu bapanya tetap konsisten menyimpan wang antara RM100 ke RM200 sebulan bagi memastikan mereka dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan selesa pada usia muda.

"Walaupun kedua-dua emak ayah kami bekerja, kehidupan kami serba sederhana. Ibu selalu cerita dia menabung di TH untuk kami dapat pergi ke Makkah pada usia muda dan masih bertenaga.

Tiga beradik (dari kiri) Muhammad Nazirul Hazimi, Muhammad Nazirul Haqimi dan Muhammad Nazirul Fatihi melakukan persiapan pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi. - Foto Bernama
Tiga beradik (dari kiri) Muhammad Nazirul Hazimi, Muhammad Nazirul Haqimi dan Muhammad Nazirul Fatihi melakukan persiapan pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi. - Foto Bernama

"Saya masih ingat setiap kali dapat duit raya, wang tersebut akan diserahkan pada ibu untuk tujuan simpanan TH," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Bakal Haji ke Tanah Suci Musim Haji 1445/2024 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi.

Bagaimanapun, Muhammad Nazirul Haqimi berkata, beliau agak terkilan kerana hajat ibu bapanya untuk melihat mereka empat beradik menunaikan ibadah haji bersama-sama tidak tercapai.

Menurutnya, adik perempuan bongsunya, Nur Afifah Nadhirah, 22, tidak dapat turut serta kerana sedang menduduki peperiksaan di Universiti Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Nur Afifah turut menerima tawaran haji tahun ini tetapi terpaksa ditangguh ke 2028. Memang rasa agak terkilan sedikit, tetapi kami percaya bukan rezeki dia kali ini," katanya yang amat berterima kasih kepada kedua ibu bapanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!