Ancaman bunuh Teresa Kok perbuatan ekstrem, tidak patut berlaku - MCA
SHAH ALAM - Ancaman bunuh yang dilakukan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merupakan perbuatan ekstrem yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Timbalan Ketua Penerangan MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak harmoni itu perlu dihentikan.
"Apatah lagi menghantar ugutan bunuh kepada pemimpin dengan kata-kata berbaur perkauman.
"Diharapkan pelaku akan segera ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal agar ia memberi pengajaran kepada dirinya serta orang lain," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Teresa menerima ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediamannya.
Dalam masa sama, MCA turut mengutuk tindakan itu dan percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan seterusnya mengheret pesalah ke muka pengadilan.
"MCA bersimpati dengan apa yang menimpa Teresa dan secara tegas mengutuk perbuatan ugutan itu tidak kira menimpa sesiapa.
"Ini kerana, ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga perbuatan ekstrem yang tidak sepatutnya berlaku dalam negara majmuk seperti Malaysia," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!