Wanita bunuh teman rapat dipenjara 33 tahun
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang wanita kerana membunuh teman rapatnya dengan menikam mangsa tujuh kali dan menggantikan kepada hukuman penjara 33 tahun.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ooi Ai Peng, 46, bagi semakan terhadap hukuman mati tersebut.
"Mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikan dengan hukuman penjara selama 33 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 13 Mac 2010," kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Terdahulu, peguam T Jayaraj yang mewakili Ai Peng memohon mahkamah membenarkan permohonan semakan bagi mengetepikan hukuman mati dan memaklumkan anak guamnya telah meringkuk dalam penjara selama 14 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan itu, namun sekiranya mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan hukuman sekurang-kurangnya 33 tahun terhadap Ai Peng.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Noordin bertanya sama ada pemohon (Ai Peng) yang berpewatakan lelaki dan berambut pendek itu lelaki atau perempuan.
Pihak pendakwaan menjawab ‘perempuan’.
Wanita itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2011 kerana membunuh Suhana Mohd Sharif, 26, di luar premis bernombor 167, Taman Kristal Mergong, Alor Setar pada 9.30 malam, 3 Mac 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Rayuan Ai Peng ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2013 dan 2014.
Dalam kejadian itu, berlaku pertengkaran antara kedua-dua wanita tersebut yang juga rakan sekerja di sebuah kedai alat tulis dipercayai akibat perselisihan faham.
Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada 11.35 malam, tarikh sama (3 Mac) manakala Ooi bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!