Tiga premis di Pulau Perhentian Kecil musnah terbakar
BESUT - Tiga buah premis musnah dalam kebakaran di Pulau Perhentian Kecil dekat sini pada Isnin.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Paizol Abd Wahab berkata, empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.25 petang.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan rumah kediaman, kedai makan dan stor barangan.
"Pihak bomba telah ke lokasi itu dengan menaiki bot pelancong dan sebaik tiba di lokasi kita dapati api telah merebak.
"Bagaimana kebakaran tersebut dapat dikawal dan berjaya dipadamkan dengan menggunakan alat pemadam api debu kering serta air paip," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah Paizol, menurut saksi, kebakaran dipercayai bermula dari rumah kediaman sebelum merebak ke dua premis lain.
"Kita turut dibantu oleh orang ramai serta pekerja dan penghuni premis berkenaan.
"Punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!