5G bantu pihak berkuasa tingkat keselamatan kawasan umum

Para pengguna telefon pintar juga dapat memeriksa tahap kelajuan (speedtest) internet U Mobile pada kes kegunaan 5G U Mobile hari ini. - Foto Bernama
Para pengguna telefon pintar juga dapat memeriksa tahap kelajuan (speedtest) internet U Mobile pada kes kegunaan 5G U Mobile hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Teknologi generasi kelima (5G) yang bakal diperkenalkan di negara ini membolehkan pemantauan keselamatan di lokasi umum dipertingkatkan dengan penempatan kamera pemantau berteknologi tinggi yang berupaya merakam pada masa nyata (real-time).

Teknologi berkenaan kini sedang diuji oleh syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Bhd yang telah meletakkan empat kamera mempunyai ciri kecerdasan buatan (AI) dan fungsi analisis video di kawasan tumpuan di pulau peranginan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, kamera yang berupaya merakam pemandangan 360 darjah menerusi resolusi 4K ((kualiti paparan 4000 pixel) dipasang di Jalan Pantai Cenang dan Dataran Cenang sebagai sebahagian projek demonstrasi 5G yang sedang dijalankan.

Antara ruang pameran yang disediakan untuk para pelancong melihat dengan lebih dekat mengenai kes kegunaan 5G Celcom di Lapangan Antarabangsa Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Antara ruang pameran yang disediakan untuk para pelancong melihat dengan lebih dekat mengenai kes kegunaan 5G Celcom di Lapangan Antarabangsa Langkawi hari ini. - Foto Bernama

"Sistem ini dinamakan '5G Safety and Security Smart City solution' membolehkan pemantauan dibuat pihak berkuasa secara langsung dari jarak jauh.

"Teknologi ini sesuai digunakan bagi membantu pihak berkuasa seperti polis dan kastam menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan dan tindakan boleh diambil dengan lebih pantas dalam mengatasi kes jenayah dan sebagainya," katanya kepada Bernama hari ini.

Celcom merupakan antara syarikat telekomunikasi yang menjalankan projek demonstrasi teknologi 5G di pulau peranginan terkenal ini.

Idham berkata, demonstrasi pemasangan kamera definisi tinggi yang dipancar tanpa wayar atau wayarles itu juga mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi.

Artikel Berkaitan:

"Apabila tahap keselamatan di kawasan pelancongan ditingkatkan menggunakan teknologi ini, secara tidak langsung ia akan meningkatkan keyakinan pelancong untuk berkunjung," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut Idham berkata, sistem pemantauan itu memberi manfaat kepada promosi pelancongan apabila ia boleh memberi gambaran langsung tentang suasana kawasan tarikan dari jarak jauh menerusi siaran resolusi 4K.

Mohamad Idham ketika menjawab pertanyaan media mengenai kes kegunaan 5G Celcom di Lapangan Antarabangsa Langkawi hari ini. - Foto Bernama
Mohamad Idham ketika menjawab pertanyaan media mengenai kes kegunaan 5G Celcom di Lapangan Antarabangsa Langkawi hari ini. - Foto Bernama

"Terdapat dua skrin yang kita pasang di ‘booth’ Celcom di Lapangan Terbang Langkawi ini...sebaik sahaja pelancong sampai, mereka boleh lihat bagaimana keadaan Pantai Chenang secara langsung walaupun belum tiba ke sana (Pantai Chenang)," katanya.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai satu daripada perintis 5G di rantau ASEAN.

Teknologi berkenaan sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!