Malaysia kerjasama rakan antarabangsa, bawa pulang pasukan perubatan di Rafah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah dengan selamat.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, susulan itu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan bersama Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, PYT Lolwah Rashid Al-Khater membincangkan mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza.

Katanya, Kementerian Luar Negeri juga bekerjasama dengan Republik Arab Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi memastikan mereka dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik.

"Memandangkan situasi yang tegang dan cepat berubah, adalah penting operasi menyelamat dijalankan dengan cekap serta lancar melalui saluran diplomatik.

"Disebabkan keadaan yang semakin meruncing di Rafah, Gaza, dan kawasan sekitarnya, kerajaan Malaysia menggesa semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berdaftar dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), agar tidak melakukan perjalanan ke zon konflik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pasukan ini merupakan sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza yang terkandas sejak 1 Mei 2024.

Tambah kenyataan itu, nasihat tersebut merupakan penekanan terhadap arahan yang telah dikeluarkan semasa mesyuarat antara agensi dengan NGO pada 16 Oktober 2023 dan 23 Januari 2024 di Kementerian Luar Negeri.

"Kementerian Luar Negeri memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kepulangan selamat warga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Semua langkah yang perlu sedang diambil dan Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang pasukan perubatan tersebut dengan selamat. Mereka adalah keutamaan kerajaan Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!