Kerajaan setuju perluas skim keilatan kepada pekerja warga asing

Steven ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-11 di Menara PERKESO, pada Isnin. Foto Bernama
Steven ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali ke-11 di Menara PERKESO, pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju memperluaskan skim keilatan kepada pekerja warga asing yang bekerja di negara ini, bagi memastikan kebajikan golongan itu turut dilindungi, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa bersama mengenai pengurusan pekerja asing yang dipengerusikannya bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini pada Isnin.

Dalam sidang media bersama Saifuddin Nasution selepas mesyuarat tersebut, beliau berkata, perluasan skim keilatan itu, selaras menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Buat masa ini memang pekerja tempatan di bawah Akta 4 ada skim bencana kerja dan juga skim keilatan, tetapi untuk pekerja asing hanya ada skim bencana pekerja.

"Maka mesyuarat hari ini setuju perluaskan perlindungan keselamatan sosial skim keilatan kepada pekerja asing di negara ini. Perlindungan di bawah skim ini, bersifat 24 jam meliputi keilatan atau kematian atas sebarang sebab,” katanya.

Skim Keilatan memberi perlindungan kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

Sim berkata, skim keilatan yang bakal diperluaskan kepada warga asing itu, mempunyai pelbagai faedah antaranya bantuan ilat, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

"Dengan adanya skim keilatan ditawarkan kepada pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), mereka dapat RM4,500 untuk bantuan penghantaran pulang jenazah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengenalan skim tersebut, dijangka memberi penjimatan melebihi RM25.38 juta setahun kepada PERKESO yang sebelum ini membantu menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"PERKESO laksana CSR untuk (penghantaran jenazah) dan ini wang PERKESO sendiri... ini antara manfaat besar skim keilatan,” katanya.

Sementara itu, Steven berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berhasrat menubuhkan unit pengaduan bagi pekerja asing, serta merangka prosedur operasi standard (SOP) untuk golongan itu.

"Ini merupakan sebahgian pembaharuan reformasi Jabatan Tenaga Kerja... satu unit atau SOP khsusus untuk kendali aduan pekerja asing.

"Antara sebabnya (SOP diwujudnya) kerana kita tahu keadaan pekerja asing tidak sama pekerja tempatan. Kita tahu ada situasi khusus berlaku dengan pekerja asing, jadi SOP khas akan diwujudkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pengenalan mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) dijangka dilaksanakan pada Januari tahun depan, kerana terdapat beberapa perkara perlu diperinci sebelum pelaksanaannya.

"KESUMA, Kementerian Ekonomi bersama rakan kementerian berkaitan tengah kaji (MTLM), meliputi nilai ambang dan formula kepada levi pelbagai peringkat sebelum bentang kepada Jemaah Menteri,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!