Ketua Pendakwa Raya ICC mohon waran tangkap ke atas Netanyahu
THE HEAGUE - Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan telah memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta pegawai-pegawainya.
Notis permohonan tersebut telah diserahkan kepada tiga panel hakim yang terlibat dalam praperbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Permohonan itu antara lain turut melibatkan pemimpin tertinggi Israel seperti Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant.
"Netanyahu dan Yoav Gallant disyaki melakukan jenayah seperti kebuluran orang awam di Palestin sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, sengaja mengarahkan serangan terhadap penduduk awam dan kemusnahan.
"Kami mempunyai bukti bahawa Israel telah sengaja dan dengan sistematik melakukannya.
"Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya tetapi bukan dengan sengaja menyebabkan kebuluran, penderitaan yang besar dan kecederaan serius terhadap penduduk awam," katanya.
Sejak Oktober tahun lalu, tentera Israel membunuh 34,183 warga Palestin dan mencederakan lebih 77,000 yang lain kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Menurut Pejabat Media Kerajaan berpangkalan di Gaza, tentera Israel melakukan 3,021 pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga warga Palestin di seluruh Semenanjung Gaza sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober tahun lalu.
Selain itu, turut disenaraikan di bawah permohonan waran tangkap berkenaan adalah pemimpin-pemimpin Hamas; Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh.
Karim Khan berkata, permohonan yang dibuat pada Isnin itu berikutan terdapat alasan munasabah untuk mengaitkan kedua-dua pihak berkenaan melakukan jenayah kemanusiaan dan perang sejak 7 Oktober lalu.
Pada awal bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memberi amaran terhadap ‘ugutan misteri’ selepas timbul laporan Israel bimbang tribunal itu boleh mengeluarkan waran tangkap berhubung Perang Gaza.Karim Khan menerusi platform X bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada ia ada kaitan dengan siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang di Palestin selepas banyak pihak menggesa agar Israel diheret ke muka pengadilan.
Terdahulu, pemimpin ekstremis itu turut mengkritik tribunal tersebut setelah khabar angin tentang waran tangkap berkenaan mula tersebar secara meluas.
Rangkaian media Axios melaporkan Tel Aviv memberi amaran kepada sekutunya, Washington bahawa ia akan bertindak balas dengan tegas terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) jika ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas ahli politik mereka.
Anggota Kongres AS juga menyatakan mereka akan melakukan tindakan sama selepas siasatan ICC terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza ditolak atas alasan ia tiada bidang kuasa ke atasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!