Malaysia buat perhitungan dengan Korea Selatan di suku akhir
MALAYSIA menepati ramalan melangkah ke peringkat suku akhir dengan bergaya, selepas merakam kemenangan kedua dengan mengalahkan Brunei 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini, malam ini.
Pasukan negara dibarisi gandingan Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Baihakki A’ripin mudah mencatat kemenangan 15-9, 15-11 ke atas Brunei, yang mempertaruhkan Muhammad Azri Awang Abdul Harith, Mohamad Efiezul Haqim Murah dan Muhamad Basyiruddin Kamis.
Pada perlawanan itu, pemain negara Aidil Aiman menunjukkan semangat yang tinggi apabila tetap mahu diturunkan walaupun masih dalam proses pemulihan susulan gastrik, yang dialaminya sejak semalam.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia dibimbing Ahmad Jais Baharun muncul juara kumpulan, sementara Brunei kendalian bekas ketua jurulatih kebangsaan Abd Talib Ahmad, terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.
Di pentas suku akhir pagi esok, Malaysia akan bertemu naib juara Kumpulan D Korea Selatan, sementara Brunei akan berdepan pasukan gergasi sepak takraw dunia, Thailand yang mengungguli saingan kumpulan D.
"Sebenarnya dalam setiap perlawanan bila masuk dalam gelanggang kami nak menang, itu yang kami terapkan dalam diri."Kami akan pulun esok, gemuruh tetap akan ada tapi kami akan kurangkan selain perlu lebih fokus ketika bertahan dan servis,” kata Muhammad Noraizat.
Mengulas mengenai rakan sepasukannya yang mengalami gastrik, beliau berkata: "Sebenarnya dia (Aidil Aiman) tak sihat sebab suspek gastrik, dia ada makan ubat tahan sakit dan lawan rasa sakit tu dan hari ini dia bagi tahu sakit berkurang.”
Namun, Muhammad Noraizat tidak melihat situasi itu akan menjejaskan aksi Malaysia, menentang Korea Selatan dalam misi mencapai sasaran ke final.
Dalam pada itu, Ahmad Jais berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam pasukan double negara menjelang pertembungan dengan Korea Selatan dan aksi seterusnya jika berjaya layak.
"Dari segi persembahan apa yang perlu diperkemas team double, dari segi kawalan bola, servis dan komunikasi dalam gelanggang, itu tiga elemen penting sebab dalam acara ini tak boleh tinggal mata agak jauh, sebab agak sukar untuk dapatkan mata melalui servis,” katanya.
Sementara itu, dalam acara sama, Vietnam muncul juara Kumpulan B selepas mengatasi India 2-1 (17-16, 15-17, 17-15) dalam perlawanan terakhir kumpulan, sekali gus terlepas daripada membuat perhitungan dengan Myanmar yang menunjukkan prestasi memberangsangkan pada kempen kali ini.
Vietnam akan bertemu naib juara Kumpulan C iaitu Indonesia, sementara Myanmar selaku juara Kumpulan C akan bertemu India. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!