KP Kementerian Luar Singapura dihukum penjara seminggu
SINGAPURA - Seorang Ketua Pengarah di Kementerian Luar (MFA) Singapura dijatuhi hukuman penjara selama seminggu pada Isnin kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam berhubung penggunaan beg diplomatik untuk menghantar jam tangan mewah dari China ke Singapura untuk seorang rakan, lapor Straits Times (ST).
Gilbert Oh Hin Kwan, 45, mengaku bersalah pada 26 April dan akan membuat rayuan terhadap hukuman itu.
Mahkamah sebelum ini menolak cadangan daripada pendakwaan dan pembelaan untuk mengenakan denda.
Hakim Daerah Sharmila Sripathy-Shanaz dalam penghakimannya berkata, denda tidak sesuai kerana kesan serius terhadap integriti perkhidmatan awam dan MFA di peringkat domestik - setakat mana proses penyiasatan dalaman telah terjejas - dan di peringkat antarabangsa, jadikan hukuman penjara sebagai permulaan," lapor ST.
Gilbert menghadapi dua pertuduhan menipu kerana menyalahgunakan perkhidmatan beg diplomatik. Pertuduhan ini diambil kira semasa penjatuhan hukuman.
Beg diplomatik digunakan untuk menghantar dokumen atau barang yang dimaksudkan untuk kegunaan rasmi antara diplomat.
Di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, beg diplomatik tidak boleh dibuka atau ditahan.
Menurut laporan akhbar itu, masalah Gilbert dengan undang-undang bermula apabila dia ingin membantu seorang rakan wanita bukan diplomat yang dikenali dalam dokumen mahkamah sebagai Jiang Si dengan membantunya menghantar jam tangan dari China ke Singapura
Untuk melakukannya, Gilbert berbohong kepada rakannya, Dion Loke Cheng Wang yang ketika itu bertugas di Kedutaan Singapura di Beijing.
Gilbert memberitahu Dion bahawa ibu bapa rakan diplomat Chinanya mahu menghantar 'sesuatu dalam pakej' kepada Gilbert di Singapura, dan meminta ia dihantar melalui perkhidmatan beg diplomatik.
Dion tidak mengatur penghantaran pakej itu melalui perkhidmatan berkenaan kerana ia ditangguhkan pada masa itu tetapi sebaliknya, pada 17 Januari 2023, dia menaiki penerbangan dari China ke Singapura, membawa pakej yang dimeterai dalam bagasi peribadinya.
Setibanya di Singapura, Dion kemudian diperiksa oleh pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura dan mendapati pakej dibawanya mengandungi 21 jam tangan mewah, sebentuk cincin dan tujuh buku kanak-kanak yang dimiliki oleh Jiang dan pasangannya.
MFA dimaklumkan dan pada 19 Januari 2023, Gilbert diminta memberikan laporan bertulis mengenai keadaan itu.
Gilbert memberitahu MFA bahawa jam tangan itu milik bapanya.
Dia juga pada mulanya memberitahu Biro Penyiasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada 19 Januari 2023 pembohongan yang sama sebelum mendedahkan kebenaran pada kenyataan keduanya keesokan harinya, lapor ST.
Gilbert telah mengambil cuti tanpa gaji semasa siasatan sedang dijalankan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!