'Sabar hadap kerenah VAR'

VAR dalam proses penambahbaikan bagi memberi impak terbaik dalam saingan Liga Super musim ini. (Gambar kecil: Zainal Abidin)
VAR dalam proses penambahbaikan bagi memberi impak terbaik dalam saingan Liga Super musim ini. (Gambar kecil: Zainal Abidin)
A
A
A

SETIAP pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu bersabar dengan ‘kerenah’ Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dalam proses penambahbaikan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Malah para peminat juga wajar bertenang kerana 'ragam' yang ditunjukkan oleh VAR boleh mencetuskan tanda tanya dan menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga membuatkan keputusan tidak memihak kepada pasukan mereka.

Justeru, penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berharap, semua pihak memberi masa kepada MFL untuk memperkemaskan sistem tersebut kerana ia masih baharu dalam kancah Liga-M.

Beliau berkata, penggunaan VAR memerlukan sokongan semua pihak agar segala yang dirancang oleh pengelola bola sepak tempatan itu dapat berjalan dengan baik dan lancar.

“Buat masa ini kebanyakan pasukan tidak puas hati dengan VAR, tapi peraturan Liga Super 2024/25 sudah menetapkan penggunaan sistem itu.

“Mereka kena hadam dan terima seadanya dengan apa yang ada, beri masa kepada MFL untuk baiki sistem,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

VAR menjadi pertikaian dalam kalangan peminat melibatkan aksi Penang FC menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Pasukan pelawat menyangka telah memperoleh gol pendahuluan menerusi Manuel Ott, tetapi jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Artikel Berkaitan:

Ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penonton, biarpun aksi tersebut dilengkapi dengan sistem VAR.

Hasil semakan mendapati bahawa semakan VAR untuk ofsaid tidak berfungsi kerana masalah teknikal melibatkan padang stadium.

Sebelum ini VAR tidak dapat digunakan untuk dua aksi pembukaan Liga Super yang melibatkan pertemuan Sri Pahang menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Temerloh dan Sabah berdepan Penang FC di Likas.

“Bersabar dan bertabahlah dengan penggunaan VAR kerana masalah teknikal yang dihadapi,” ujar Zainal Abidin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!