Guna kertas, pensel kira bil pelanggan
PASIR MAS - Kertas dan pensel menjadi peralatan penting bagi seorang peniaga warga emas untuk mengira jumlah pembelian pelanggan di pasar mini miliknya di Kampung Pohon Buluh di sini.
Kaedah pengiraan secara manual itu dipraktikkan Asmah Yussof, 63, sejak lebih 40 tahun lalu yang turut menarik perhatian pelanggannya.
Asmah mengakui lebih mudah dan cepat mengira secara manual tanpa kalkulator.
"Bagi saya mengira menggunakan pensel lebih cepat dan mudah berbanding alat pengiraan malah pelanggan tidak perlu menunggu lebih lama.
"Saya hanya menggunakan kalkulator untuk mengira kaedah darab (×) atau bahagi (÷) sahaja," katanya ketika ditemui di kedainya runcitnya.
Sebelum ini tular satu video yang memaparkan Asmah mengira menggunakan pensel sambil mulutnya menyebut harga barangan yang diambil pelanggan.
Menurut Asmah, mengira menggunakan pensel dan kertas turut menjadi ikutan tiga anak perempuan dan seorang lelaki serta seorang menantu yang membantunya dalam perniagaan runcitnya itu.
Tambahnya lagi, ada individu yang membawa banyak kertas terpakai selepas melihat dia dan anak-anak menggunakan kertas atau buku untuk mengira.
"Memang saya tidak menolak kerana lebih senang membuat pengiraan di kertas berbanding alat pengiraan elektronik," katanya.
Asmah berkata, mereka memulakan perniagaan jam 9 pagi hingga 6 petang namun mula sibuk sehingga waktu tengah hari.
Katanya lagi, pelanggannya merupakan penduduk sekitar kawasan Meranti yang datang mendapatkan pelbagai barang basah dan keperluan harian.
"Pelanggan juga asyik memerhatikan saya mengira dan saya boleh meneruskannya walaupun pembelian mereka mencecah ratusan ringgit," katanya.
Ibu kepada 13 anak itu memberitahu, pasar mininya lebih sibuk pada hari cuti umum dan musim perayaan kerana pelanggan datang untuk mendapatkan barangan untuk persiapan.
Bagaimanapun, kata Asmah, ada masanya dia tetap melakukan kesilapan mengira tetapi itu tidak menjadi masalah besar dan menerima aduan pelanggan.
"Ada pelanggan yang datang semula ke kedai dan saya akan mengiranya semula sebelum memulangkan baki atau pelanggan memberi wang yang tidak mencukupi," katanya.
Bagi memulakan perniagaannya setiap hari, Asmah keluar seawal jam 7 pagi ke Pasar Tasik Raja untuk membeli barang basah dan keperluan jualan sebelum bergegas membuat persiapan menerima perniagaan.
"Saya akan berhenti rehat pada waktu tengah hari dan akan masuk semula ke kedai selepas solat Asar kerana pelanggan mulai ramai pada waktu itu," katanya.
Minat berniaga Asmah diwarisi daripada bapanya, Allahyarham Yussof Abd Rauf yang juga seorang pengusaha budu tempayan.
"Saya pada mulanya berniaga secara kecil-kecilan di halaman rumah dan Alhamdulillah kini mempunyai kedai yang lebih selesa dan banyak barang disediakan untuk pelanggan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!