Kerajaan Terengganu bantu bayi hidap empat penyakit
KUALA TERENGGANU – Penderitaan seorang bayi berusia 12 bulan, Muhammad Zhafran Amsyar Zamzuri yang menghidap empat penyakit iaitu penyakit hati kronik atau biliary atresia (BA), angin pasang, jantung berlubang dan masalah hempedu mendapat perhatian kerajaan negeri.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkunjung ke kediaman Muhammad Zhafran Amsyar di Setiu semalam bagi melihat sendiri keadaan kanak-kanak itu.
Melalui kunjungan itu, Hanafiah berkata, Muhammad Zafran Amsyar yang perlu menjalani pembedahan di China atau India akan dibantu sewajarnya bagi memastikan kesihatannya pulih dan hidup normal seperti kanak-kanak lain.
“Sekarang kisah adik Muhammad Zhafran Amsyar sedang viral dan ada pihak bermurah hari menghulurkan sumbangan. Kita akan tengok berapa jumlah kutipan diterima dan baki kos pembedahan itu akan ditanggung kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman.
“Berdasarkan maklumat awal pakar, kos pembedahan di dua negara itu dianggarkan sebanyak RM250,000 dan setakat ini jumlah sumbangan diterima adalah dalam sekitar RM20,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, bapa Muhamad Zhafran Amsyar, Zamzuri Ahmad,38, akan berjumpa pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) esok bagi menetapkan tarikh, lokasi dan jumlah kos sebenar pembedahan sebagai persediaan.
Sehubungan itu, Hanafiah berharap orang ramai dan juga syarikat korporat dapat sama-sama membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban kewangan keluarga kanak-kanak malang itu.
“Kos diperlukan memang banyak kerana selain bayaran pembedahan, keluarga ini juga memerlukan wang untuk makan minum dan tempat tinggal di sana. Mereka mungkin tinggal di sana antara satu hingga dua bulan bergantung kepada kesihatan Zhafran.
“Kerajaan negeri akan terus memantau dan membantu bagi meringankan bebanan keluarga ini. Semoga anak ini akan kembali sembuh sediakala,” katanya.
Selain bersetuju menanggung baki kos pembedahan, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM350 kepada Muhammad Zhafran Amsyar bermula bulan ini.
Orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan boleh menghubungi keluarga Muhammad Zhafran Amsyar di talian 011-16816897.VIDEO:Bayi derita empat penyakit perlukan RM250,000 untuk pemindahan hati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!