Aplikasi e-Azzuha permudah urusan umrah, haji
PENYEDIA perkhidmatan umrah dan haji, Azzuha Group Travel & Tours (Azzuha) membangunkan aplikasi kecerdasan buatan (AI), e-Azzuha yang mampu melancarkan pengurusan jemaah menjalankan ibadah di Tanah Suci.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Malik Abdul Raman berkata, inovasi yang pertama di Malaysia itu sesuai dengan keperluan semasa di samping menjimatkan masa berbanding menggunakan kaedah manual.
Ini kerana katanya, aplikasi e-Azzuha dilengkapi dengan sistem komunikasi antara jemaah dengan kakitangan Azzuha serta mutawif sekali gus memudahkan mereka berhubung dengan pantas.
Tambah beliau, aplikasi e-Azzuha akan dilancar dan digunakan sepenuhnya menjelang 1446 Hijrah, iaitu pada bulan Julai tahun ini.
“Melalui e-Azzuha, para jemaah lebih mudah membuat urusan secara terus seperti memuat naik dan memuat turun dokumen, menyerah dan menerima surat pengesahan, insurans dan visa yang akan dijana secara automatik, tanpa perlu datang ke pejabat.
“Selain itu, aplikasi ini juga turut memudahkan para jemaah melaporkan kecemasan, menunjuk arah atau lokasi tempat penginapan, tempat menunggu bas dan sebagainya,” katanya pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Haji Perdana Azzuha Siri kedua 1445 Hijrah di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), di sini pada Sabtu.
Tambah Abdul Malik, aplikasi e-Azzuha lebih baik berbanding sistem ini sekali gus memperlihatkan komitmen Azzuha memperkasakan teknologi terkini dalam perkhidmatannya.
Mudah dan selamat
Malah, aplikasi e-Azzuha katanya, mampu memudahkan pelanggan melakukan semua urusan, menjimatkan masa dan boleh diakses menggunakan semua jenis peranti elektronik.
Pada masa sama, aplikasi itu turut dilengkapi dengan sistem keselamatan yang mana boleh mengenal pasti kedudukan jemaah selain mengemaskini semua aktiviti mereka bermula di tanah air sehingga selesai menunaikan ibadah umrah atau haji.
Jelasnya, dengan inovasi e-Azzuha itu, ia membantu para jemaah berkomunikasi dengan lebih komprehensif dan waris mereka juga akan dapat melihat semua aktiviti yang dilakukan oleh mereka.
“Aplikasi ini membolehkan pihak Azzuha memantau semua aktiviti dan melihat sama ada mereka hadir atau tidak untuk setiap sesi di tanah suci. Pihak waris juga boleh memeriksa keadaan jemaah menerusi aplikasi ini.
“Sistem keselamatan yang dibangunkan ini bukan sahaja dapat mengesan lokasi mereka tetapi juga lengkap dengan maklumat bagi memudahkan kerja mencari jemaah yang hilang atau kecemasan seperti sakit untuk kita sebarkan kepada ahli kumpulan lain bagi membantu kami.
“Selain itu, semua persoalan yang pengguna ajukan dalam sistem, AI akan terus beri jawapan kepada mereka. Jemaah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan maklum balas,” ujar Abdul Malik.
Dalam pada itu, aplikasi e-Azzuha turut dilengkapkan dengan aspek bimbingan iaitu terdapat himpunan doa dan zikir yang boleh dimanfaatkan para jemaah sepanjang mengerjakan ibadah di tanah suci.
Aplikasi e-Azzuha jelas beliau, diharapkan mampu membuka satu lembaran baharu dalam industri haji dan umrah, selari dengan industri-industri lain di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!