Double negara raih slot separuh akhir

Noraizat (tengah) melakukan libasan ketika menentang Korea Selatan dalam aksi suku akhir double Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Noraizat (tengah) melakukan libasan ketika menentang Korea Selatan dalam aksi suku akhir double Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD double negara dipaksa bekerja keras sebelum mara ke saingan separuh akhir setelah menumpaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Dunia Sepak Takraw 2024 sebentar tadi.

Dalam saingan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin 'bermandi peluh' sebelum mengesahkan kemenangan dalam pertarungan tiga set.

Mereka bermula positif pada set pertama apabila menang 15-11, namun double Korea Selatan, Kim Young-cheol dan Shin Hee-seop mengubah skrip permainan untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi kemenangan 15-17 untuk mengheret aksi ke aksi penentuan.

Enggan berputus asa dan sokongan padu peminat tuan rumah, Aidil dan Noraizat bangkit pada set ketiga untuk mengesahkan kemenangan 15-9 dalam tempoh 75 minit permainan.

Menanti skuad double negara dalam aksi separuh akhir malam ini ialah Myanmar yang mengalahkan India 2-0.

Noraizat yang ditemui media selepas perlawanan mengakui mereka perlu mengurangkan kesilapan mudah dalam saingan separuh akhir jika mahu mara ke final.

"Kesilapan kecil masih ada dan perlu dielak agar tidak berulang. Alhamdulillah kami menang dan saya rasa kedua-dua pasukan sama-sama hebat," katanya.

Menjelang perlawanan separuh akhir berdepan Myanmar pada jam 8 malam ini, Noraizat optimis skuad negara mampu meraih keputusan positif.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, mereka pernah bertemu pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan kemenangan berpihak kepada pasukan negara.

"Kita yakin boleh menang ke atas Myanmar sebab pernah jumpa mereka pada Sukan SEA dan menang 2-0.

"Kali ini sekali lagi di separuh akhir dan situasi sama seperti sebelum ini kami harap akan menang lagi ke atas mereka," katanya.

Dalam pada itu, satu lagi separuh akhir menyaksikan Thailand yang menewaskan Jepun akan berdepan pasukan pilihan Indonesia yang turut mara selepas mencatat kemenangan ke atas Vietnam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!