Pembenihan awan di Johor dijadual Februari ini
JOHOR BAHRU - Operasi pembenihan awan di Johor dijadual akan dilakukan pada awal Februari ini bagi mengatasi masalah taburan hujan yang berkurangan.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, perubahan cuaca kepada musim panas pada masa sekarang selain permintaan tinggi terhadap penggunaan air memerlukan pemantauan dilakukan agar bekalan air mencukupi.
Katanya, berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, seluruh kawasan di negeri ini hanya akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150 milimeter (mm) sehingga 400mm pada bulan ini dan dijangka berterusan sehingga Mac depan.
"Pemantauan secara terperinci terhadap paras muka sauk empangan dan sungai akan terus dilakukan dalam tempoh dua minggu ini oleh kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
"Ini demi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan bagi meminimakan gangguan bekalan air terutamanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jimmy Puah berkata setakat ini, keadaan paras air di 16 empangan dan kawasan tadahan air seluruh negeri ini berada pada tahap memuaskan.
"Tiga empangan iaitu empangan Lebam, Kota Tinggi, empangan Congok, Mersing dan empangan Machap Kluang yang sebelum ini seringkali berada di paras kritikal kini berada keadaan baik dan memuaskan.
"Pengguna diminta lebih berhemah menggunakan air dan elakkan penggunaan yang berlebihan agar tidak berlaku pembaziran supaya bekalan air terawat sentiasa terjamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!