Lima ADUN lantikan Pahang berlandaskan politik

Jasri, Mohd Yazid
Jasri, Mohd Yazid
A
A
A

KUANTAN - Pembangkang di Pahang mendakwa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) baru-baru ini berlandaskan politik semata-mata.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kewujudan mereka sebenarnya tidak berfungsi, selain tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, malah mereka yang dilantik juga tidak dapat memberikan perkhidmatan kerana tidak mempunyai kawasan rasmi sebagaimana ADUN dipilih rakyat.

“Lantikan tersebut berdasarkan lantikan politik semata-mata, jadi (saya berpandangan) tiada keperluan sebenarnya melantik mereka ini.

“Saya juga tidak nampak mereka ini memberi manfaat kepada rakyat dan tidak berfungsi. Ini kerana mereka tiada kawasan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai lima ADUN Lantikan pada 13 Mei lalu di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini, pada Selasa.

Pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan setelah mendapat majoriti mudah dan diumumkan pada persidangan berkenaan.

Lima ADUN lantikan tersebut terdiri daripada Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Jasri yang menandatangani surat arahan bertulis itu dikeluarkan kepada semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Pahang.

Jasri yang Ketua Bersatu Bahagian Maran menjelaskan lantikan berkenaan juga disifatkan membazirkan wang kerajaan Pahang sedangkan perbelanjaan itu boleh disalurkan kepada medium yang lebih strategik.

”Setiap perbelanjaan bagi ADUN Lantikan tersebut menelan kos hampir berbelas ribu, setahun RM1 juta, kalau hendak hendak tunggu tiga tahun akan datang bazir hampir RM3 juta.

”Jadi, kalau hendak dibandingkan jumlah tersebut (lebih baik) diberikan kepada ADUN (menang) kawasan masing-masing untuk melaksanakan projek kecil, saya rasa itu lebih bermanfaat kepada rakyat,” jelas Jasri.

Sementara itu, Mohd Yazid pula berpendapat kerajaan Pahang gagal mengotakan janji bahawa lantikan tersebut mewakili kelompok tertentu seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU) selain golongan profesional tanpa membabitkan fahaman politik.

Ujarnya, lebih mengecewakan apabila Kerajaan Pahang mengatakan bahawa ADUN lantikan itu bukan daripada politik, namun ia berlaku sebaliknya.

“Empat daripada lima yang dilantik memang ‘clear’ (berlatar belakang politik). Pihak kami rasa lucu sebab kerana apa yang mereka jelaskan tidak seperti dizahirkan.

"Kami bersetuju jika lantikan itu dari golongan profesionalisme,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!