Gelombang hijau, PN masih wujud - Saifuddin

Saifuddin (tengah) menyaksikan Mohd Yazid (kiri) dan Jasri (kanan) menandatangani surat arahan bertulis daripada Bersatu di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
Saifuddin (tengah) menyaksikan Mohd Yazid (kiri) dan Jasri (kanan) menandatangani surat arahan bertulis daripada Bersatu di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Gelombang hijau dan Perikatan Nasional (PN) masih wujud, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Menurut beliau, kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini juga tidak wajar dijadikan sebagai kayu ukur kelemahan sesebuah parti politik.

Beliau berkata, meskipun PN kalah namun terdapat pertambahan undi dari segi sokongan pengundi muda dan kawasan yang majoriti besarnya Melayu.

"Ini bermakna gelombang PN itu masih wujud, cuma tidak cukup untuk menang di Kuala Kubu Baharu dan selalunya kita tidak ukur kekuatan sesuatu parti itu dengan satu PRK.

"Jadi, kita harus tunggu PRN (pilihan raya negeri) yang akan datang, di situ ia wajar untuk diukur kekuatan mana-mana parti politik," katanya mengulas dakwaan gelombang hijau dan PN sudah berakhir susulan kekalahan parti itu pada PRK Kuala Kubu Baru.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus dan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin menandatangani surat arahan bertulis itu dikeluarkan kepada semua wakil rakyat Bersatu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, bukan tidak boleh langsung mengukur kekuatan parti menerusi PRK, tetapi dengan menetapkan kekalahan baru-baru ini sebagai pengakhiran kepada PN memang tidak logik.

Artikel Berkaitan:

"Jika hendak kata tidak boleh diukur langsung itu mungkin tidak logiklah, begitu juga kalau dikatakan kekalahan calon PN baru-baru ini bermakna tiada lagi gelombang parti, saya fikir (pandangan) itu tidak begitu sesuai," katanya.

Mengulas surat arahan bertulis, Saifuddin berkata, surat itu perlu ditandatangani setiap ahli Parlimen bagi menyatakan kesetiaan mereka pada Bersatu dan tidak mengisytiharkan sokongan kepada Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Bagi ADUN pula mereka perlu melakukan perkara sama dan tidak menyokong Menteri Besar yang berpihak Perdana Menteri itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!