Bekas pekerja kurier didakwa lakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bekas pekerja kurier dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 12 tahun, Mac lepas.

Addin Mahsuri Abdul Ariff Nordin, 24, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kedua-dua mangsa di sebuah rumah di Kampung Tok Akil, Ketereh pada 10.30 malam, 2 Mac lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nik Habri membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis Ketereh selain syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini bagi sebutan kes serta serahan dokumen. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: