Lebih 28,000 veteran ATM tidak berpencen terima BSH setakat April
CAMERON HIGHLANDS - Sebanyak 28,828 daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan, setakat 30 April lepas.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM daripada RM54 juta pada 2022 kepada RM118 juta pada 2023 dan RM244 juta pada tahun ini.
"Ketika saya mula menguruskan hal ini (BSH), jumlah penerima sekitar 6,000 hingga 10,000 veteran, namun kini sudah meningkat kepada lebih 28,000.
"Sudah menjadi tugas kita untuk menjaga kebajikan veteran ini selaras dengan seruan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bagi teras keenam Dasar Madani iaitu ’Insan’ dan kita benar-benar melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Veteran Madani (PVM) peringkat Pahang di Kampung Kuala Boh di sini pada Selasa.
Menurut Adly, pihaknya berharap bantuan bulanan terbabit dapat meringankan beban veteran ATM tidak berpencen yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan.
Dianjurkan Kementerian Pertahanan bersama JHEV ATM, PVM dihadiri Adly hari ini merupakan program julung kali melibatkan veteran dalam kalangan Orang Asli.
Beliau turut membuat lawatan kebajikan terhadap lima veteran ATM dan menyerahkan bakul makanan, susu kesihatan, kit bantuan kebajikan, lampin pakai buang serta sumbangan wang tunai kepada mereka.
Adly turut mengadakan sesi dialog bersama veteran ATM Pahang bagi mendengar isu-isu yang perlu diperhalusi di peringkat JHEV dan kementerian serta penyerahan bakul Rahmah kepada 100 veteran ATM yang hadir. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!