Anwar beri sumbangan pada Huzz, derita kanser usus tahap empat
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada wartawan hiburan terkenal, Huzz atau nama sebenar Kamal Huzaini yang kini terlantar di hospital.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Huzz pada Selasa.
“Hari ini (Selasa) setiausaha politik saya, Ahmad Farhan Fauzi menziarahi wartawan hiburan, saudara Huzz yang popular ketika era 80-an dan 90-an dahulu menerusi penulisan berkaitan dunia artis tanah air.
“Namun empunya badan atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat,” katanya.
Selain ziarah, Anwar berkata, Ahmad Farhan turut memberikan sedikit bantuan daripada pihaknya bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Saya amat berharap pemberian ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada saudara Huzz, Insya-ALLAH,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!