Mimi Lana sentiasa positif
SEJAK awal pembabitan aktres muda ini dalam bidang seni, beliau sudah diuji dengan episod hitam yang menggores namanya.
Namun wanita tinggi lampai itu tidak melatah, jauh sekali menggalah. Beliau bangkit membuktikan diri menerusi bakat yang dimiliki.
Keberkesanan lakonan dan komitmen kerja yang tinggi membuatkan Mimi Rozaiana Zainal Abidin atau nama pentasnya Mimi Lana menjadi buruan penerbit dan pengarah.
Maka tidak hairanlah kini, wanita berusia 28 tahun itu muncul antara heroin pelapis yang sering menghiasi kaca televisyen mahupun layar lebar.
Justeru, tatkala ditanya apakah yang menjadi sumber kekuatannya untuk bangkit meraduk segala onak ranjau dunia seni, anak kelahiran Taiping, Perak itu dengan tenang menjawab: “keluarga“.
Jelas aktres yang mula dikenali menerusi siri Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa, sejak awal lagi, beliau sama sekali tidak mengambil pusing apa sahaja cerita kontroversi mengenai dirinya.
“Sejak dulu lagi, fokus saya hanyalah pada keluarga dan kerjaya. Selepas apa yang saya lalui, saya mahu menjadi insan yang lebih baik.
“Bagi saya apa yang penting adalah sentiasa positif dalam melalui apa juga dugaan dan halangan,“ jelasnya kepada Sinarplus.
Akui Mimi lagi, keluarga pernah meluahkan kebimbangan dengan cerita peribadi yang lebih menjadi perhatian, tetapi pengalaman selama sedekad banyak memberi pengajaran buatnya.
“Bagi saya, normal lah kalau keluarga luahkan kebimbangan, itu maknanya mereka sayangkan kita. Setakat ini tidak ada cerita yang terlalu teruk, yang menyebabkan saya tidak dapat jelaskan kepada keluarga.
“Kebanyakannya, mereka memahami saya dan juga kerjaya. Jadi, hal berkaitan keluarga tidak menjadi masalah buat saya,“ katanya.
Ditanya apa perancanganya selepas ini, Mimi yang mewarisi bidang lakonan dari neneknya yang merupakan pelakon pentas semasa era kegemilangan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee mengakui, menyimpan impian untuk melebarkan sayap ke negara jiran.
Meskipun pernah mendapat tawaran, Mimi terpaksa akur untuk melepaskannya kerana faktor jadual yang tidak mengizinkan.
“Saya memang ada perancangan itu, tetapi buat masa ini masih belum rezeki. Insya-ALLAH selepas ini, kalau ada tawaran yang bersesuaian dan tidak bertindih dengan kerja lain, saya bersedia untuk menimba pengalaman di luar Malaysia.
“Cuma buat masa sekarang, saya mahu fokus untuk berikan yang terbaik dalam lakonan. Masih banyak yang saya mahu terokai dalam dunia seni ini,“ ujarnya yang menganggap anugerah sebagai satu bonus dalam kerjaya.
Anak emas?Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Mimi berkata, beliau akan muncul dengan dua projek siri bersama Astro Original dan sebuah filem terbitan Astro Shaw.
Diusik, adakah beliau kini menjadi anak emas rangkaian Astro, Mimi dengan lembut menolak gelaran itu dan menganggap ia sebagai rezeki.
“Alhamdulillah, salah satu siri bersama Astro Original iaitu Framed sedang ditayangkan, manakala sebuah lagi siri iaitu First Wife baharu sahaja selesai menjalani penggambaran.
“Filem bersama Astro Shaw iaitu The Experts akan menemui penonton di pawagam pada 23 Mei depan dan saya sangat teruja dengan naskhah kali ini kerana skripnya berbeza,“ ujar Mimi.
Tambah Mimi, The Experts menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Remy Ishak, Syafiq Kyle, Ray dan Maya Karin, mengangkat tema rompakan.
“Saya tidak sabar menanti reaksi penonton kerana kami sendiri melalui proses produksi yang panjang dengan penggambaran filem ini tertangguh dua kali disebabkan Covid-19.
“Pun begitu, tiada cabaran besar ketika penggambaran kerana berpeluang melalui sesi persiapan yang panjang. Harap filem ini nanti mendapat sambutan hangat seperti filem terbitan Astro Shaw yang lain,“ katanya mengakhiri perbualan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!