Borussia Dortmund bersama Faisal Halim
KELAB Bundesliga, Borussia Dortmund bersolidariti bersama pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid sehingga mengalami kelecuran tahap empat pada 5 Mei lalu.
Kelab Jerman itu menerusi satu hantaran di laman Facebook menyatakan pendirian menentang keganasan dalam bola sepak selain turut memberikan sokongan penuh kepada Faisal.
"Faisal Halim adalah pemain sayap yang bermain untuk Selangor FC dan pasukan kebangsaan Malaysia. Dia menjaringkan gol kejohanan Piala Asia AFC baru-baru ini menentang Korea Selatan.
"13 gol dan sembilan bantuannya dalam liga musim lalu melonjakkan Selangor FC ke tempat kedua dan menempah tempat dalam pertandingan Asia 2024/25.
"Susulan berita terkini, Faisal diserang dan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, kami menolak keganasan dalam bola sepak.
"Hentikan keganasan. Kami berdiri bersama Faisal Halim," kata hantaran tersebut.
Faisal atau lebih dikenali sebagai 'Mickey' mengalami kelecuran tahap empat dalam insiden simbahan asid itu kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Dia berada dalam keadaan stabil selain proses rawatan yang positif selepas melalui empat pembedahan dan dijangka dapat keluar daripada hospital dalam masa terdekat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!