Nafi berlaku genosid buktikan Biden makin nyanyuk
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Isnin sengaja mengundang kemarahan orang ramai setelah beliau mendakwa kempen pengeboman dilancarkan sekutunya, Israel ke atas Genting Gaza bukan genosid.
“Apa yang sedang berlaku bukan pembunuhan beramai-ramai,” kata pemimpin berusia 81 tahun itu ketika menyertai acara Jewish American Heritage Month di Rumah Putih untuk membincangkan tentang konflik berterusan rejim Zionis-Hamas.
Biden yang sebelum ini memberi amaran tegas kepada rejim Tel Aviv tentang kempen pengeboman lebih ganas ke atas Gaza secara tiba-tiba menukar pendiriannya setelah pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mahu memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Beliau turut mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyifatkan waran tangkap itu kononnya sebagai keterlaluan.
Pemimpin itu juga membuat pusingan U apabila berikar akan memberi sokongan kuat kepada Israel untuk menghapuskan pejuang Hamas.
Sebelum ini, hubungan Biden bersama Netanyahu agak tegang setelah beliau mengancam untuk menggantung penghantaran bekalan senjata kepada Tel Aviv jika ia meneruskan ofensif ganas ke atas Rafah.
Tidak sampai beberapa minggu, pemimpin tersebut kembali menyokong kekejaman sekutunya meskipun terdapat bukti jelas tentang pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Gaza berikutan angka korban kini melepasi 35,500 orang.
Biden berdepan tekanan menjelang Pilihan Raya Presiden pada November depan dan keupayaan beliau untuk terus memegang kuasa di Rumah Putih dipersoalkan banyak pihak kerana faktor usia selain terdapat tanda sudah berada pada fasa nyanyuk. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!