Pencuri tunggu sampai rakaat terakhir

Lelaki berkain pelekat masuk ke ruangan solat wanita sebelum melarikan beg tangan jemaah yang sedang bersolat.
Lelaki berkain pelekat masuk ke ruangan solat wanita sebelum melarikan beg tangan jemaah yang sedang bersolat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pencuri sanggup menunggu sehingga jemaah sujud pada rakaat terakhir sebelum melarikan beg tangan seorang wanita di Masjid Mukim Peringat di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika semua jemaah sedang menunaikan solat Zuhur berjemaah di masjid itu.

Lelaki yang dilihat memakai kain pelekat itu dilihat merangkak masuk ke ruangan solat wanita dan menunggu jemaah sujud sebelum melarikan beg tangan yang diletakkan di bahagian hadapan pemiliknya yang sedang solat.

Imam Muda Masjid Mukim Peringat, Razak Mahmood berkata, beliau ketika itu mengimamkan solat Zuhur sebelum terdengar bunyi bising.

“Selesai solat kami dapati beg tangan seorang jemaah wanita dilarikan pencuri. Ketika itu hanya terdapat dua wanita sedang solat bersama-sama.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki berbaju T merah masuk ke ruangan solat wanita dan mengambil beg salah seorang daripada mereka sebelum melarikan diri. Wanita yang berusia dalam lingkungan 40-an itu cuba mengejar pencuri tetapi gagal dan membuat laporan di Balai Polis Melor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rakaman CCTV kejadian itu turut dimuat naik di laman sosial Facebook.
Rakaman CCTV kejadian itu turut dimuat naik di laman sosial Facebook.

Beliau berkata, kejadian kecurian beg jemaah wanita sedang solat kali ketiga berlaku di masjid itu selepas dua lagi pada Disember tahun lalu yang membabitkan kerugian RM4,000.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu, pihak masjid mengambil inisiatif memasang CCTV dan dapat merakam kejadian ketiga yang berlaku semalam,” katanya.

Menurutnya, kedudukan masjid yang terletak di tepi jalan utama memudahkan orang ramai untuk singgah menunaikan solat tetapi perlu berhati-hati dengan pencuri.

“Kami tidak mengenali lelaki itu tetapi rakaman CCTV tersebut sudah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan sedang berusaha mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!