Kerajaan serius gubal Dasar Gaji Progresif sektor swasta - PM

Anwar ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan pada Selasa.
Anwar ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan keseriusan kerajaan untuk menggubal Dasar Gaji Progresif melibatkan sektor swasta, selaras dengan penambahbaikan gaji dan elaun penjawat awam.

Beliau berkata, langkah kerajaan mengkaji semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) memberi mesej jelas kepada sektor swasta, agar tidak hanya mementingkan keuntungan tinggi dan mengetepikan pekerja mereka.

"Ini kerana anak-anak muda dan para graduan bertanya apakah nasib mereka di sektor swasta? Maka diperkenalkan Dasar Gaji Progesif ini,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini.

Anwar berkata, pada 1 Mei, beliau mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus mulai Disember ini, setelah belasan tahun tidak disemak.

Selain itu beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan bagi mendukung ekonomi rakyat dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan supaya gaji yang diraih lebih munasabah.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk menambah baik ekosistem perniagaan bagi menyokong industri baharu yang mempunyai daya saing dan bernilai tinggi, supaya pelaburan dapat ditingkatkan ke dalam ekonomi tempatan agar kadar gaji rakyat meningkat ke tahap yang lebih bermakna.

Beliau berkata, industri tempatan diberi nilai tambah, khususnya sektor semikonduktor yang sedang mendapat tempat di mata dunia dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat sekurang-kurangnya RM4,500 menjelang 2030.

Bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran dalam kalangan anak muda, kerajaan juga melaksanakan kerjasama dengan gergasi industri dalam menstruktur semula Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara.

Artikel Berkaitan:

"Kecerdasan Buatan (AI) juga diberi keutamaan melalui penubuhan Fakulti AI pertama negara (di Universiti Teknologi Malaysia) dan jaringan dengan semua disiplin AI di seluruh negara, pusat sains dan universiti-universiti," katanya.

Anwar berkata, Khazanah Nasional Bhd juga menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi, dengan dana RM1 bilion.

Bagi menoktahkan kemiskinan tegar, beliau berkata kerajaan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan kerjasama kerajaan negeri dan sehingga kini mencatatkan kemajuan yang disifatkan beliau sebagai melegakan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!