SQ321: 16 rakyat Malaysia antara penumpang pesawat London-Singapura

SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter. Foto Agensi
SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter. Foto Agensi
A
A
A

SINGAPURA - Enam belas rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa.

SIA dalam kemas kini terkini pada jam 10.35 malam di Facebook, bagaimanapun tidak menyatakan keadaan mereka.

Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) di dalam penerbangan itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, sebelum ini berkata, mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah seorang lelaki British berusia 73 tahun.

SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Setakat jam 7.50 malam, 18 individu telah dimasukkan ke hospital, 12 sedang dirawat di hospital manakala penumpang dan kru yang lain sedang diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

"SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kini bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan yang diperlukan dan pasukan SIA sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian penting Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!