EMGS kurangkan penggunaan elektrik, penjimatan kos RM74 juta

Nik Nazmi (tengah) bergambar bersama penerima Sijil EMGS. Foto Bernama
Nik Nazmi (tengah) bergambar bersama penerima Sijil EMGS. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan program Energy Management Gold Standard (EMGS) mencatatkan pengurangan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 203 Gigawatt jam dan pelepasan gas rumah hijau (GHG) berjumlah 115 kilotan karbon dioksida setiap tahun.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengurangan itu bersamaan dengan penjimatan kos sebanyak RM74 juta.

"Sejak dilancarkan pada 2011, program EMGS di bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) telah memberi sokongan dan dorongan untuk pelaksanaan amalan kelestarian serta kecekapan tenaga melibatkan pelbagai sektor.

"Justeru, kejayaan ini bukan sekadar ukuran dan angka, bahkan hal ini mencerminkan kerjasama warga organisasi yang terlibat ke arah pengurusan tenaga yang cekap dan kelestarian alam. Angka ini mewakili langkah proaktif ke arah masa depan Malaysia yang lestari bagi mencapai aspirasi negara pelepasan GHG sifar bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Penganugerahan Sijil EMGS di sini pada Selasa.

Nik Nazmi (kiri) ketika acara perasmian pada Majlis Penghargaan Sijil Energy Management Gold Standard (EMGS) di ibu kota pada Selasa. Foto Bernama
Nik Nazmi (kiri) ketika acara perasmian pada Majlis Penghargaan Sijil Energy Management Gold Standard (EMGS) di ibu kota pada Selasa. Foto Bernama

Nik Nazmi berkata, sehingga kini, sebanyak 184 organisasi di seluruh negara telah terlibat dengan pensijilan EMGS dan hari ini sebanyak 107 pertubuhan diiktiraf pencapaian mereka melalui penganugerahan sijil EMGS.

Beliau berkata, organisasi yang terlibat merangkumi pelbagai kemudahan sektor awam dan swasta seperti hospital, makmal kesihatan, klinik, institusi penyelidikan, pendidikan, perbankan, bangunan pejabat dan industri.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah ini merangkumi lapan organisasi yang menerima sijil 1- Bintang, 32 organisasi menerima sijil 2-Bintang dan 67 organisasi menerima sijil 3-Bintang termasuk tujuh pembaharuan pensijilan 3-Bintang.

"Kita turut memberikan Anugerah Khas kepada beberapa organisasi yang memperoleh pencapaian terbaik dari segi pengurangan penggunaan tenaga dan yang telah memberikan komitmen tinggi dalam pelaksanaan program ini di kebanyakan kemudahan mereka,” katanya.

Nik Nazmi bergambar bersama para penerima Sijil EMGS pada Majlis Penghargaan Sijil Energy Management Gold Standard di ibu kota pada Selasa.
Nik Nazmi bergambar bersama para penerima Sijil EMGS pada Majlis Penghargaan Sijil Energy Management Gold Standard di ibu kota pada Selasa.

Nik Nazmi berkata, pengurusan tenaga yang cekap merupakan satu tindakan mitigasi perubahan iklim yang penting dan menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi hijau negara.

"Justeru, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama kementerian peneraju seperti Kementerian Ekonomi dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari komited dalam menyokong pelaksanaan program pengurusan tenaga yang cekap.

"Hal ini sejajar dengan sasaran negara yang digariskan dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2016-2025 (NEEAP), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!