‘Selepas dirogol, saya dituduh pemusnah rumah tangga’

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu dan bapa adalah sosok penting dalam keluarga, namun semuanya berubah apabila mereka membuat keputusan untuk bercerai.

Si ibu terpaksa bekerja keras demi memberi kesenangan hidup kepada anak-anak sehingga terpaksa meninggalkan mereka di rumah saudara.

Mangsa rogol bapa saudara, Aisyah berkata, sejak kecil dia dan adik-beradik lain memang rapat dengan bapa saudara yang dipanggil Pak Usu.

Menurutnya, Pak Usu pada mulanya banyak membimbing dan memberi kasih sayang seperti seorang bapa.

“Ibu ayah dah lama bercerai. Apabila ada Pak Usu, memang semua masalah saya kongsi dengannya tanpa ada fikiran negatif.

“Sampailah suatu hari apabila saya bergaduh dengan teman lelaki dan ingin menghubunginya tetapi telefon bimbit saya rosak. Jadi, saya buat keputusan untuk pinjam telefon Pak Usu walaupun sudah jam 3 pagi,” katanya.

Aisyah memberitahu Pak Usu membawanya ke dalam bilik tidur tetamu kononnya bagi mendengar luahan masalah selain tidak mahu mengganggu ibu saudara yang sedang tidur.

“Saya sedang sedih dan meluahkan isi hati kepada Pak Usu. Pada masa itu dia seperti cuba menenangkan dan memujuk saya. Tidak sangka pula dia tergamak buat saya macam itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Aisyah memaklumkan malam itu merupakan sejarah paling hitam yang pernah dialami apabila dia dirogol, sehinggakan dia tidak mahu bercakap dengan orang lain termasuk ibunya.

Ujar Aisyah lagi, abang yang menyedari karakternya berubah terus mendesaknya membuat laporan polis selepas mengetahui hal sebenar.

“Abang desak saya buat laporan polis sebab kalau bercerita pada ibu, mungkin ibu tidak percaya. Selepas buat laporan, Pak Usu ditangkap, dibicarakan dan dipenjarakan,” katanya.

Namun disebabkan insiden itu, Aisyah yang ketika itu sudah memasuki usia 18 tahun dibuang dan disisihkan oleh keluarga kerana dianggap pemusnah rumah tangga Pak Usu walaupun Pak Usu sendiri mengaku bersalah di mahkamah.

“Saya trauma sebab dipersalahkan oleh seluruh keluarga kerana kononnya merosakkan rumah tangga mereka,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!