Punca Gen Z, Alfa lembik, cepat ‘koyak’
GENERASI Z dan Generasi Alfa adalah gelaran kepada golongan yang lahir pada 1997-2010 dan 2011-2026. Gen Z kini berusia antara 27 hingga 14 tahun manakala Gen A berumur 13 tahun dan ke bawah.
Golongan ini membesar dalam perkembangan teknologi baharu dunia digital yang segala-segalanya di hujung jari sahaja.
Zaman yang serba canggih ini pastinya banyak kelebihan buat anak-anak. Namun, jika dilihat sikap generasi sekarang, nampaknya jati diri mereka tidak sekuat generasi terdahulu.
Kebanyakannya terlalu dimanjakan menyebabkan mereka menjadi lemah terutama dari segi emosi dan mental.
Menerusi satu perkongsian di media sosial baru-baru ini, seorang anak muda dilaporkan tidak dapat meneruskan pekerjaan di sebuah syarikat atas alasan ketiadaan pengangkutan.
Apakah anak-anak sekarang manja atau terlalu bergantung kepada ibu bapa dalam apa jua urusan?
Perkara tersebut pernah juga diutarakan oleh selebriti Lana Nodin yang berkongsi sikap anak muda yang cepat sentap.
Apabila ditegur terus tak datang kerja dan itu situasi yang berlaku di kafe miliknya menyebabkan kesukaran beliau mendapatkan pekerja.
Malah, dalam situasi lain, seorang majikan berkongsi kekecewaan selepas berurusan dengan pelajar praktikal di firma miliknya.
Pelajar berkenaan kemudiannya mengambil keputusan berhenti.
Namun apa mengejutkan, ketika menghantar surat peletakan jawatan, anak muda itu ditemani sang ibu yang turut membawa bersama surat doktor yang mengesahkan dia mempunyai masalah cepat stres.
Majikan berkenaan menyuarakan kerisauan tentang keadaan anak muda zaman ini yang baginya terlalu dimanjakan sehingga menjadi begitu ‘lembik’.
Betul juga, bukan. Jika praktikal sudah stres, bayangkan bagaimana situasi apabila memasuki alam pekerjaan yang sebenar kelak?
Apakah sikap ibu bapa itu sendiri membuatkan anak-anak hilang ketahanan diri untuk berhadapan dengan cabaran di luar sana?
Begitupun, kita tidak boleh pukul rata dalam isu ini. Cuma apa akan jadi pada masa akan datang andai perkara yang kecil pun perlu melibatkan campur tangan ibu bapa?
Memetik kata-kata seorang usahawan terkenal baru-baru ini, kemungkinan anak muda zaman sekarang tidak sesuai dengan sistem pekerjaan masa kini.
Katanya lagi, generasi sekarang bukan malas tetapi perlukan fleksibiliti dalam bekerja.
Perkongsian seorang guru kaunseling, Abdul Muiez Ruslee sebelum ini yang menjalankan kajian ke atas anak-anak, beliau menyifatkan generasi sekarang cukup rapuh, mudah kemurungan, tidak kuat mental sehinggakan ada yang menghadapi anxiety atau keresahan melampau.
Kata pakar berkenaan, semua yang berlaku itu adalah disebabkan persekitaran yang mendidik mereka.
Ramai yang membandingkan kehidupan dahulu dengan situasi anak-anak sekarang. Hakikatnya ia tidak sama. Anak-anak dahulu bebas berlarian, bermain bersama kawan-kawan, mandi sungai dan sebagainya.
Namun berbeza dengan anak-anak sekarang terutama yang tinggal di bandar yang tidak mempunyai ruang untuk berbuat demikian.
Lebih-lebih lagi jika tinggal di rumah flat kecil, sempit, tiada ruang untuk mereka bebas ke sana ke mari.
Itu belum bab kesihatan mental anak-anak yang seharian menadah telinga dengan leteran si ibu atau ayah menjadi punca stres.
Sebagai ibu bapa, kena ingat, zaman kita tidak sama dengan zaman sekarang, justeru pendekatan terbaik harus diambil.
Didiklah anak-anak untuk membina kekuatan diri, mental dan fizikal supaya mereka boleh berhadapan dengan realiti di luar sana.
Elakkan terlalu memanjakan anak sehingga mereka tidak mampu untuk berdikari sendiri. Asyik bertukar kerja atau ketiadaan ruang untuk mereka diterima bekerja dek kerana sikap sendiri yang terlalu berkira dan tidak tahan tekanan.
Ditambah pula dengan pasaran kerja pada masa ini yang cukup kompetitif menyaksikan, seorang pekerja berhenti, maka berpusu-pusu yang lain tampil untuk mengisi kekosongan tersebut.
Justeru, pesanan penulis, jangan mudah alpa. Anak muda perlu memiliki jiwa, mental yang kental dan tahu hala tuju serta perancangan untuk masa depan.
Buang jauh-jauh pemikiran sempit jika mahu berjaya dan bergerak pantas sebagaimana perubahan teknologi masa kini.
* Zaiton Abdul Manaf ialah Editor SinarPlus
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!