Detik hitam dinoda ahli keluarga sendiri
SHAH ALAM - Perbuatan menyuruh budak perempuan berusia 10 tahun duduk di atas pangkuan sepupu lelaki berumur 20-an secara hadap-menghadap sememangnya melampaui batas terutama jika dilakukan di dalam kereta tanpa disedari oleh orang lain.
Lebih mengejutkan, mangsa, Nurul menceritakan sepupunya itu, Aiman turut menyentuh bahagian sulitnya tetapi dia terpaksa mengunci mulut kerana sudah diberi amaran keras.Menurutnya, Aiman juga pernah melakukan perbuatan tidak senonoh itu ketika mereka di dalam rumah.
“Suatu hari, kami sekeluarga pulang ke kampung di Kedah kerana ada kenduri kahwin, jadi Aiman ikut.
“Pada masa itu ibu tidur di tempat duduk hadapan, ayah pula fokus memandu kereta. Saya dan Aiman duduk berdua di tempat duduk belakang. Ketika itulah dia menyuruh saya duduk di atas ribanya,” katanya.
Perbuatan Aiman itu bagaimanapun dapat dihidu ibu Nurul yang terjaga daripada lena semasa mereka ingin singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya.
“Ibu tahu ada yang tidak kena sebab dia sempat berpaling ke belakang dan pelik dengan kedudukan kami.
“Aiman tak mengaku melakukan pencabulan walaupun sudah didesak ibu. Apabila sampai di kampung malam itu, perkara itu disenyapkan kerana tidak mahu merosakkan majlis yang sedang berlangsung,” jelasnya.
Hanya beberapa minggu kemudian barulah bapa Nurul membuat laporan polis.
“Pada mulanya ayah tidak mahu melayan perkara ini kerana Aiman adalah anak kepada kakaknya, tetapi selepas berkali-kali didesak ibu, ayah akur dan buat laporan polis sehingga suspek ditahan,” tambahnya.
Katanya, Aiman kemudian dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah serta dihukum penjara selama 10 tahun.
Sementara itu, detik hitam yang dilalui oleh Thanusha mungkin lebih buruk daripada nasib Nurul.
Perbuatan terkutuk seorang bapa akhirnya terbongkar selepas dua tahun apabila Thanusha yang ketika itu baru berusia sembilan tahun mengadu sakit pada bahagian kemaluan kepada ibunya.
Sebelum ini tiada siapa curiga dengan perangai durjana si bapa yang bekerja sebagai pemotong rumput.
“Saya masih ingat ayah paksa ikut pergi kerja dan saya dibawa ke tandas lelaki kononnya untuk temankan dia tetapi sebenarnya dipaksa melayan nafsunya.
“Ayah memang selalu sentuh-sentuh saya semasa kecil tetapi tidak sangka ia melarat sehingga rogol,” ceritanya.
Namun Thanusha tidak mengadu serta-merta kepada ibunya susulan kematian adiknya secara tiba-tiba.
“Selepas saya dirogol, saya nak mengadu pada ibu tetapi adik saya yang kurang upaya meninggal dunia.
“Saya jadi sedih kerana kes itu didiamkan sekejap bagi menghormati pemergian adik,” jawabnya pilu.
Tambah Thanusha, ibunya membuat laporan polis secara senyap-senyap supaya tidak diketahui oleh bapa selepas menguruskan hal adiknya.
“Ketika perbicaraan di mahkamah, kami sekeluarga dimaklumkan ayahlah orang yang telah membunuh adik. Hanya tuhan yang tahu betapa hancurnya hati ibu selepas mengetahui hal sebenar,” katanya sambil menambah, bapanya didapati bersalah dan dihukum penjara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!