Parti liar: Kerajaan Terengganu panggil pemilik resort
KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah resort persendirian di Pulau Lang Tengah akan dipanggil pada Khamis berhubung penularan beberapa keping gambar dan poster memaparkan penganjuran sebuah parti liar di kawasan peranginan itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihak berkenaan diminta mengemukakan penjelasan berhubung isu yang tular di media sosial sejak Selasa.
Menurutnya, pertemuan itu akan turut melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Kita akan menyiasat perkara ini terlebih dahulu, jika ada kesalahan dari segi peraturan atau apa-apa akta kita akan bertindak.
"Kita akan teliti terlebih dahulu jawapan daripada pihak premis swasta tersebut sebelum apa-apa tindakan diambil sama ada salah dari segi garis panduan hiburan, pelancongan atau kelulusan permit," katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri malam Selasa.
Dalam pada itu, Razali turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai isu tersebut kepada pihak berkuasa.
"Jika ada bukti ia menyalahi peraturan atau ada orang beragama Islam terlibat dalam parti itu, boleh salurkan kepada pejabat agama untuk siasatan lanjut.
"Insya-ALLAH kita sama-sama jaga dan majukan sektor pelancongan negeri kita," katanya.
Pada Selasa tular poster dan gambar memaparkan wanita berpakaian seksi menghadiri sebuah parti liar dinamakan Aloha Party yang didakwa diadakan di pulau tersebut.
Gambar tersebut mendapat perhatian ramai malah rata-rata daripada mereka mengatakan parti tersebut tidak sesuai diadakan di negeri ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!