[VIDEO] SAR30 juta kos sediakan makanan jemaah haji

A
A
A

MAKKAH - Tabung Haji (TH) memperuntukkan SAR30 juta (RM37.5 juta) untuk menampung kos penyediaan dua juta pek makanan bagi 31,600 orang jemaah Musim Haji 1445H/2024 yang disediakan oleh lapan syarikat penyedia makanan di Makkah dan Madinah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata, walaupun terdapat peningkatan pada kos bahan mentah, bahan yang diimport, kos pengangkutan dan percukaian namun jumlah kos penyediaan tahun ini tidak meningkat.

Syed Saleh (dua, kiri) meninjau proses penyediaan sajian makanan jemaah haji Malaysia oleh Al Wafa Catering.
Syed Saleh (dua, kiri) meninjau proses penyediaan sajian makanan jemaah haji Malaysia oleh Al Wafa Catering.

“Kos yang ditanggung oleh TH itu tetap sama kerana kontrak jangka panjang yang ditandatangani bersama pihak penyedia makanan.

"Ini menjadi satu perkara yang mencabar bagi kami bagaimana hendak menangani kos dan pada masa sama menyediakan perkhidmatan terbaik untuk jemaah haji,” katanya kepada Petugas Media Tabung Haji.

Beliau berkata, setiap tahun pihak kerajaan yang berkuasa juga menentukan proses-proses dan kemudahan tertentu yang perlu ditambah baik yang menyebabkan pihak dapur perlu membuat penambahbaikan dan ia membabitkan kos.

Menurutnya, syarikat penyedia makanan ini ada yang masih dikekalkan, malah ada yang sememangnya sudah sekian lama bersama TH, namun ada juga syarikat yang baru dua menyediakan makanan untuk jemaah kita.

Syed Saleh berkata, Unit Kesihatan Awam TH akan membuat pemeriksaan di sepanjang musim haji dan mereka akan membuat pemeriksaan secara mengejut sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas operasi Masyair.

Artikel Berkaitan:

“Kedatangan yang tidak dimaklumkan lebih awal ini menjadikan syarikat penyedia makanan sentiasa menjalankan operasi pada tahap terbaik," katanya.

Syed Saleh (kiri) melihat sendiri keadaan stor penyimpanan makanan mentah Al Salmi Catering.
Syed Saleh (kiri) melihat sendiri keadaan stor penyimpanan makanan mentah Al Salmi Catering.

Menurutnya, unit ini juga perlu melihat sistem perparitan, sistem pengurusan sisa, peralatan yang digunakan, ramuan dan amalan penyediaan yang baik agar kualiti dan bahan yang digunakan terjamin.

“Saya juga ingin tekankan di sini bahawa sebelum beroperasi, pihak penyedia makanan perlu melalui proses saringan penilaian ketat oleh kerajaan Arab Saudi.

"Mereka perlu memohon kebenaran menerusi pejabat Gabenor Mekah dan Bandaraya Maakah serta Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Penguatkuasaan dan dapatkan sijil kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi,” katanya.

Proses penyediaan sajian makanan di Al Wafa Catering.
Proses penyediaan sajian makanan di Al Wafa Catering.

Bagi penghantaran pula, Syed Saleh berkata, pihaknya telah menetapkan semua dapur menghantar sajian menggunakan kenderaan dengan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa dan disimpan dahulu dalam kotak pemanas sebelum dibawa ke hotel pada masa ditetapkan.

"Kenderaan yang digunakan wajib menggunakan peranti GPS untuk memudahkan pengesanan lokasi hinggalah sampai ke destinasi dengan selamat dan jemaah menerima makanan yang masih panas," katanya.

Lapan syarikat penyedia makanan itu terdiri enam di Makkah iaitu Al Wafa Catering, Al Salmi Catering, Nakha Alia Catering, Mohsen Mohd Al Amoudi Catering (Retaj Restaurant), Fawzy Abo Rozeyza (Makkah Kitchen) dan Tadco Catering.

Dua lagi syarikat menyediakan makanan di Madinah iaitu Edarah Company For Hotel Management & Operation dan Ahmed Mohamed Zuhdi Company for Management & Operation of Tourist Accommodation.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!