LRA SSP1 diselenggara, pengguna terjejas diminta simpan bekalan air
SHAH ALAM - Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan melalui proses selenggara dan penggantian aset bermula jam 9 pagi pada 5 Jun dan dijangka siap jam 7 malam pada hari sama.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, perlaksanaan kerja-kerja tersebut akan membabitkan pengguna di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula jam 3 pagi pada 6 Jun setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.
Menurut Air Selangor, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
"Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
"Justeru itu, Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini," menurut Air Selangor dalam satu kenyataan.
Untuk pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor selain mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka.
"Stesen air itu di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat)," kata kenyataan itu lagi.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!