Perjanjian kolektif jaga kebajikan pekerja - AEON BiG

Dari kiri; Setiausaha Agung ABMU, Mohamad Akhzan Mohamad Rasdi; Muhammad Hider, Sheikh Farouk, Ketua Sumber Manusia AEON BiG, Mohd Rizal Omar; Muhamad Fikri dan Setiausaha Agung ABWU, Siti Suhaizah Mohd Zainuddin pada majlis perjanjian kolektif di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dari kiri; Setiausaha Agung ABMU, Mohamad Akhzan Mohamad Rasdi; Muhammad Hider, Sheikh Farouk, Ketua Sumber Manusia AEON BiG, Mohd Rizal Omar; Muhamad Fikri dan Setiausaha Agung ABWU, Siti Suhaizah Mohd Zainuddin pada majlis perjanjian kolektif di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) salah satu rangkaian pasar raya besar terkemuka di Malaysia telah mencapai persetujuan dalam perjanjian kolektif ketiga antara Kesatuan Sekerja Pengurus AEON BiG (ABMU) dan Kesatuan Sekerja Pekerja AEON BiG (ABWU).

AEON BiG dalam satu kenyataan memaklumkan, perjanjian kolektif baharu yang ditandatangani itu adalah titik pencapaian bagi kedua-dua pihak yang akan mentadbir dan menyelaraskan terma serta syarat pekerjaan melibatkan pengurus dan pekerja AEON BiG.

“Perjanjian ini berkuat kuasa bermula 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2026.

“Ia menjanjikan peningkatan kebajikan pengurus dan pekerja dari segi gaji, faedah kesihatan serta perubatan,” menurut kenyataan itu.

Perjanjian tersebut telah diadakan di AEON BiG Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini, disaksikan oleh Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie.

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kenaikan gaji secara menyeluruh adalah eksklusif untuk ahli kesatuan sekerja AEON BiG bagi menampung peningkatan kos sara hidup masa kini.

“Kami telah melaksanakan penyesuaian gaji selaras dengan pasaran dan memahami keadaan ekonomi semasa.

“Kami komited memberikan yang terbaik kepada tenaga kerja AEON BiG,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, perjanjian itu menandakan langkah penting dalam memupuk hubungan industri yang positif bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja.

“Ia juga pencapaian penting bagi mewujudkan suasana tempat kerja yang menghargai kerjasama, keadilan dan keharmonian dalam kalangan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Presiden ABMU, Muhammad Hider Md Yusoff berkata, ia adalah perjanjian ketiga dan antara yang terbaik ditawarkan berbanding sebelumnya.

“Kami berbangga kerana berjaya merealisasikan beberapa pembaharuan dan peningkatan seiring dengan keadaan ekonomi terkini,” katanya.

Presiden ABWU, Muhamad Fikri Zulfekly pula berkata, kebajikan pekerja akan lebih terjamin pada masa hadapan dengan perjanjian baharu itu.

“Dengan peningkatan faedah untuk tenaga kerja, kami yakin lebih ramai pekerja AEON BiG akan menyertai persatuan sekerja ini,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!