Jurutera Malaysia berjaya ‘Melayukan’ kawan Korea
SHAH ALAM - Seorang jurutera tempatan yang bekerja di Korea Selatan berjaya meraih perhatian warganet apabila sering memuat naik video memaparkan kebolehan dan kemahirannya memasak pelbagai juadah Melayu.
Bukan itu sahaja, hidangan seperti nasi lemak, ayam goreng berempah, udang masak lemak, sate, roti jala dan sebagainya yang dimasak oleh Mohd Fikri Mohd Jumat, 32, turut dikongsikan bersama rakan setugas di negara tersebut.
Lebih mengagumkan apabila video tersebut turut memaparkan beberapa lelaki warga Korea begitu menikmati semua hidangan yang disediakan termasuk petai dan juga ikan masin.
Menurut perkongsian video berdurasi satu minit 54 saat itu, walaupun kekok, warga Korea berkenaan dilihat gigih menyantap makanan dengan menggunakan tangan tanpa penyepit atau sudu dan garpu seperti kebiasaannya.
“Apabila anda cuba untuk Melayukan rakan sekerja (warga) Korea dengan makan menggunakan tangan.
“Makan udang masak lemak dengan ayam goreng guna tangan, baru padu. Hari ini tiada penyepit, sudu atau garpu,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian video menerusi aplikasi TikTok tersebut telah mendapat pelbagai reaksi dan respons positif daripada netizen.
Salah seorang pengguna TikTok, @cikpiyah12 mengagumi warga Korea itu kerana berselera menikmati sambal petai yang turut dihidangkan bersama.
“Wah, mereka makan petai ke? Bagusnya,” katanya di ruangan komen video tersebut.
Seorang lagi pengguna TikTok, @staminaaaaminaaaa turut mendoakan kesejahteraan Mohd Fikri kerana tidak kedekut dalam berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Besar pahala abang, terus seperti ini. Seronok tengok mereka makan hasil air tangan abang. Semoga urusan abang dipermudah kerana bagi orang makan,” ulasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!