[VIDEO] Hanya Anwar berani lakukan reformasi subsidi bersasar - Kor Ming
TELUK INTAN - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan hanya Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim berani melakukan reformasi subsidi diesel secara bersasar.
Beliau berkata, walaupun kerajaan sebelum ini menyedari berlakunya ketirisan dalam pengagihan subsidi itu, namun tiada pemimpin yang mahu memperbetulkan kesilapan sehingga mengakibatkan ketirisan semakin serius.
"Kita tidak mahu ketirisan sedemikian. Setiap kerajaan datang silih ganti semua cakap saja, tiada seorang pun berani buat.
"Akhirnya, individu bernama Anwar Ibrahim sahaja yang sanggup tampil ke hadapan untuk melakukan reformasi yang amat penting ini.
"Adalah sangat penting program sasaran subsidi ini dilakukan untuk memperbetulkan kesilapan pada masa silam," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan bantuan RM1,000 kepada 240 murid dari 11 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam Parlimen Teluk Intan di Dewan Kuil Sri Vellai Vinayagar di sini.
Mengulas lanjut, Ketua Whip Parlimen DAP itu berkata, perbelanjaan RM80 bilion yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun bagi subsidi pukal bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, tetapi juga pekerja asing dan warga asing yang tidak membayar cukai.
Katanya, keadaan itu ditambah dengan kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan RM2 bilion setahun apabila lebih 3 juta liter bahan bakar bersubsidi diseludup keluar oleh sindiket.
"Sebagai pemimpin yang penuh bertanggungjawab, kami di Kerajaan Madani memilih ambil sikap untuk menjamin kelangsungan masa depan negara.
"Kita telahpun mengambil kira segala risiko dan meminimumkan impak pelaksanaannya. Oleh itu amatlah penting reformasi ini dapat disokong sekalian rakyat," katanya.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan RM4 bilion setahun.
Sebagai permulaan, langkah itu dilaksanakan di Semenanjung dan tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!