Maqis rampas daging babi salai di LTSIP
KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging babi salai seberat 50 kilogram tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hari ini.
Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap enam warga Singapura yang baru tiba melalui penerbangan Singapura di balai ketibaan LTSIP pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas semua warga Singapura itu mendapati mereka membawa lima kotak daging babi salai yang dibalut dengan plastik lut sinar diletakkan di dalam dua bagasi berasingan.
“Hasilan tersebut dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri. Kesemua daging babi terbabit dirampas dan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Azam berkata, barangan tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen sah seperti permit import dikeluarkan oleh Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.
Katanya, tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging babi dan produk binatang itu bagi menghalang risiko kemasukan penyakit African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang juga menyebabkan kemusnahan industri penternakan babi negara.
Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari Maqis menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!