'Keajaiban untuk Faisal Halim'
PEMBEDAHAN keempat iaitu 'split skin graft' (SSG) yang dijalani pemain Selangor FC, Faisal Halim dianggap satu keajaiban selepas ia dapat menutup keseluruhan luka lecuran yang dialaminya itu.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pada kebiasaannya pembedahan SSG tersebut hanya dapat menutup sekitar 70 peratus luka lecuran namun, dalam kes Faisal ia dapat menutup keseluruhan kawasan luka lecuran menerusi kulit yang diambil pada bahagian perut dan paha sekali gus menyaksikan dapat pulih dengan cepat.
"Biasanya kalau buat SSG ini dapat 70 peratus sahaja tutup kelecuran itu sudah cukup bagus, tetapi keajaiban untuk Mickey (Faisal) kerana 100 peratus kulit yang diambil itu dapat tutup semua luka tersebut.
"Bila dapat tutup 100 peratus, luka nampak kering dan cantik," katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta pada Rabu.
Sebelum ini, Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.
Dia yang juga pemain sayap kebangsaan baru sahaja menjalani pembedahan keempat, dijangkakan menjadi pembedahan terakhir.
Dalam pada itu, Shahril turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak berhenti mendoakan Faisal sehingga dapat pulih dengan cepat.
"Kenapa cepat dan positif rawatan Faisal, dua sebab yang saya lihat. Yang pertama doa semua rakyat Malaysia di luar sana banyak membantu Faisal sendiri dan semangat dia.
"Yang kedua doktor pakar menggunakan teknologi-teknologi baharu termasuk gunakan SSG ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!