Tak sabar jejak kaki ke Tanah Suci selepas tiga kali terlepas tunai haji
KULAI - Seorang warga emas teruja dan tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah pada musim haji kali ini selepas tiga kali tidak dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Azmi Kassim, 64, yang menetap di Bandar Baru Uda, Johor Bahru berkata, walaupun kini berkerusi roda, semangatnya untuk menunaikan haji tidak pernah luntur.
Dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan sebelum ini berkata, peluang menunaikan haji itu adalah berkat tabungan sejak mendaftar dengan Tabung Haji pada 2009.
"Panggilan haji yang pertama pada 2020 dan 2022 terpaksa ditolak akibat Covid-19, manakala 2023 pula kerana tahap kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
"Namun panggilan haji keempat pula saya diuji dengan kemalangan pada Februari lalu dan terpaksa berkerusi roda setelah lima jari kaki kanan saya dibuang.
“Kemalangan kena tahun ini, mula-mula rasa macam berat hati hendak pergi, tetapi atas semangat dan dorongan keluarga, kawan-kawan dan doktor, saya pergi," katanya.
Azmi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini pada Rabu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir meraikan 137 jemaah haji dari Johor yang merupakan kumpulan terakhir berlepas menerusi penerbangan MH8408 dari LTAS jam 8 malam.
Azmi berkata, dia perlu kuat semangat dan perlu berfikiran positif selain yakin infrastruktur sedia akan membantunya.
“Insya-ALLAH boleh, sekarang pun fasiliti sudah moden, jadi kita gunalah keperluan yang disediakan untuk tunaikan haji,” katanya yang memiliki empat anak.
Azmi berkata, anak sulungnya, Rashimah, 42, serta suaminya turut menunaikan haji bersamanya sekali gus dapat membantunya sepanjang berada di Tanah Suci.
Selain Azmi, tujuh sekeluarga turut berpeluang menunaikan haji bersama setelah menanti sejak 15 tahun lepas.
Prof Dr Safian Sharif, 63, berkata, panggilan dari Tabung Haji membawa berita gembira untuk keluarganya yang mendaftar pada 2009.
“Alhamdulillah selain isteri dan tiga anak, dua menantu saya juga berpeluang untuk menunaikan haji bersama.
“Tidak terkata perasaan kami ketika ini, sangat-sangat bersyukur dan gembira. ALLAH pilih kami semua untuk tunai haji bersama pada tahun ini,” ujar bapa kepada tiga anak itu yang sudah tiga kali menunaikan haji.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!