Langkah selamatkan RM4 bilion wang negara
KERAJAAN akhirnya mengumumkan pelaksanaan subsidi diesel bersasar walaupun pada peringkat awal ramai penganalisis melihat ia sukar dilakukan kerana memerlukan sistem yang betul-betul berkesan.
Sedar atau tidak, ada pihak mengambil kesempatan terhadap subsidi diesel yang diberikan selama ini.
Kerana itulah subsidi diesel bersasar perlu dilaksanakan memandangkan terlalu banyak ketirisan berlaku.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju menyelaraskan pemberian subsidi ke atas diesel yang berupaya menjimatkan wang negara sebanyak RM4 bilion setahun.
Sebagai permulaan, langkah itu tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak kerana kebanyakan keluarga di dua buah negeri itu menggunakan diesel untuk kenderaan harian mereka.
Bagi memastikan harga barangan tidak naik mendadak, kerajaan turut menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan dan 23 pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) termasuk bas, teksi dan bot nelayan tertentu.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan itu juga tidak membabitkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing yang tidak membayar cukai tetapi menikmati subsidi itu selama ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi jaminan kebajikan rakyat akan terus terpelihara dalam menangani kos sara hidup dan penjimatan itu dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat.
Sudah tentu jumlah sekolah, hospital dan infrastruktur awam di luar bandar akan dapat diperbaiki dan ditambah, manakala Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditambah baik dengan jumlah peruntukan yang lebih tinggi dan jumlah penerima yang lebih ramai.
Langkah kerajaan itu juga dapat mengelakkan penyelewengan dan penyeludupan dengan anggaran RM7 bilion hingga RM8 bilion apabila minyak diesel diseludup keluar dan tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
Mungkin dasar yang dilaksanakan ini tidak popular dan rakyat tidak rasa kebaikannya pada hari ini tetapi kesan jangka panjang bakal selamatkan negara pada masa hadapan. Inilah masanya untuk membetulkan kesilapan.
Namun, penguatkuasaan perlu lebih diperketatkan agar isu penyelewengan dan penyeludupan diesel dinoktahkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!